JERANTUT: Tourism Pahang dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Pahang menyertai pameran pelancongan antarabangsa (ITB) Berlin 2024 di Jerman pada 5 hingga 7 Mac ini bagi memperkenal dan mengukuhkan jenama pelancongan negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man berkata, Pahang kaya dengan pelbagai keistimewaan alam semulajadi, hutan, air terjun dan pantai yang menjadi tarikan pelancong dari negara Eropah dan ASEAN.
“Pembangunan aplikasi digital berkaitan tempat-tempat menarik yang dibangunkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Taman Negara Kuala Tahan boleh dipromosikan di ITB.
“Pahang menyasarkan kedatangan pelancong 13.35 juta tahun ini berbanding 10.18 juta (2022) dan 13.23 juta tahun lalu setelah mengambil kira strategi promosi dan kecekapan mengambil peluang akan minat pelancong,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Aplikasi Taman Negara Kuala Tahan di sini.
Mengulas lanjut aplikasi digital dibangunan UKM, Yu Man berkata, aplikasi mudah alih itu bakal memberi lonjakan dalam industri pelancongan Pahang khususnya di Taman Negara Kuala Tahan.
Tambah beliau, aplikasi itu menjadi pemudahcara dan juga platform untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Taman Negara seperti dari negara Eropah, ASEAN dan pelancong domestik.
“Untuk rekod, kehadiran pelancong ke Taman Negara pada 2023 mencatatkan seramai 128,000 orang membabitkan pelancong luar negara dan domestik berbanding 68,000 pada 2022,” katanya.
Menurutnya, melalui pelbagai promosi, kemudahan 562 bilik hotel dan chalet serta aplikasi keistimewaan Taman Negara Kuala Tahan dapat meningkat atau mengekalkan kehadiran pelancong pada tahun ini.
Pengarah projek Aplikasi Taman Negara Kuala Tahan, Muhammad Akmal Muhammad Hisham berkata, pembangunan aplikasi tersebut merangkumi pendigitalan permit, senarai tempat-tempat menarik dan info-info berkaitan Taman Negara.
Beliau berkata, inisiatif kedua aplikasi ini yang berkaitan peta digital lebih mesra pengguna dan senang dibaca untuk kegunaan para pelancong. – UTUSAN










