SEGAMAT: Seorang wanita maut apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dipandunya melanggar sebuah treler di Jalan Jementah, Segamat petang tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba Penyelamat Bandar Segamat, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhd Hazim Abdul Razak, pihak bomba menerima panggilan kira-kira pukul 2.11 petang mengenai kejadian.
“Setibanya pihak bomba di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta Perodua Kancil dan sebuah lori treler.
“Pemandu kereta Perodua Kancil seorang wanita telah tersepit dibahagian pemandu dan dikeluarkan oleh pihak bomba menggunakan peralatan khas RTA.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi.
Tambah Muhd Hazim, mangsa yang meninggal dunia dikenalpasti sebagai Siti Aminah Husin, 35 tahun dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Pemandu lori seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Operasi ditamatkan kira-kira pukul 2.59 petang. – UTUSAN










