PETALING JAYA: Campur tangan Bank Negara Malaysia (BNM) berjaya menstabilkan ringgit apabila mata wang negara itu meneruskan momentum pengukuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Ringgit meneruskan prestasi kukuh apabila ditutup tinggi hari ini pada 4.7415 berbanding dolar AS berbanding 4.7525 semalam.
Dalam dagangan sebelah pagi ringgit dibuka tinggi berbanding dolar, malah bertambah baik berbanding sekumpulan mata wang utama lain dan mata wang negara ASEAN.
Pada pukul 9 pagi, ringgit naik kepada 4.7370/7410 berbanding dolar AS berbanding 4.7400/7455 pada penutup semalam.
Ringgit meningkat berbanding pound British kepada 5.9809/9860 daripada 6.0042/0111, mengukuh berbanding euro kepada 5.1212/1255 daripada 5.1434/1493, dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1532/15862 daripada 3.1532/1562 daripada 3.1642/1681.
Ringgit juga menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.3858 daripada penutup semalam pada 13.2140/2345, naik berbanding dolar Singapura pada 3.5198/5231 berbanding 3.5257/5301 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 301.3/301.7 daripada 301.5/302.0 sebelumnya.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, BNM secara jelas menyatakan bahawa ringgit adalah terkurangan nilai (undervalued).
Bagaimanapun, katanya, campur tangan BNM dari semasa ke semasa adalah sesuatu yg normal, namun, campur tangan bukan bertujuan untuk menentukan nilai ringgit.
“Campur tangan itu lebih menstabilkan kemeruapan pasaran,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas mengenai prestasi Bursa minggu ini, Afzanizam berkata, prestasi Bursa juga terkesan akibat situasi kadar faedah di AS.
“Namun, dari segi penilaian, bursa saham rata-ratanya terkurang nilai disamping terdapatnya katalis peningkatan pendapatan bagi sektor-sektor tertentu seperti teknologi; pembinaan; hartanah; perladangan dan minyak; dan gas juga mampu utk menarik minat pelabur,” ujarnya.
Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour sebelum ini berkata, ringgit pada masa ini terkurang nilai (undervalued).
Kata beliau, memandangkan asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif, ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi.
“BNM telah meningkatkan perbincangan dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat korporat dan pelabur untuk menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing,” katanya. – UTUSAN










