PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan mengambil alih tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bermula hari ini (1 Mac 2024) untuk tempoh dua tahun akan datang.
Beliau yang sebelum ini memikul tugas sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) TNB, menggantikan Datuk Seri Ir. Baharin Din yang menamatkan tempoh perkhidmatannya semalam, 29 Februari 2024.
Megat Jalaluddin menerima surat pelantikan daripada Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid.
TNB berkata, sebagai seorang yang berpengalaman dalam industri tenaga dan telah menerajui pelbagai peranan utama dalam TNB sejak 1989, termasuk sebagai Ketua Pegawai Strategik, Ketua Pegawai Retail dan Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga, Megat Jalaluddin dianggap sebagai pemimpin yang berkaliber untuk membawa syarikat ke arah pertumbuhan yang lebih mampan dan memberikan nilai tambah kepada semua pihak berkepentingan.
“Sebagai CEO TNB baharu, beliau akan meneruskan amanah mengemudi Syarikat untuk menggerakkan pertumbuhan perniagaan TNB dan mengendalikan agenda peralihan tenaga Syarikat ke arah pelepasan sifar bersih, selaras dengan matlamat neutral karbon Malaysia menjelang 2050 – demi membina masa depan yang lebih lestari untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Razak dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada Megat Jalaluddin serta menyampaikan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kewangan atas pelantikan tersebut.
“Barisan pengurusan dan seluruh warga kerja TNB mengalu-alukan Megat Jalaluddin sebagai CEO TNB baharu untuk menerajui dan membawa Syarikat ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi, serta meningkatkan nilai kepada semua pemegang taruh,” katanya. – UTUSAN










