PETALING JAYA: Alpha IVF Group Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM466.5 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia).
Pelaksanaan IPO itu melibatkan sejumlah 1,458.0 juta saham biasa dalam Alpha IVF berharga RM0.32 sesaham, terdiri daripada 364.5 juta saham baharu dan 1,093.5 juta saham tawaran untuk jualan daripada lapan penawar.
Daripada RM466.5 juta hasil IPO yang disasarkan, RM116.6 juta akan terakru kepada Kumpulan Alpha IVF, manakala baki RM349.9 juta akan diakru sepenuhnya kepada penawar.
Daripada jumlah keseluruhan hasil sebanyak RM116.6 juta yang diterima, sebanyak RM72.8 juta akan diperuntukkan untuk menubuhkan pusat IVF baharu, klinik satelit, dan pejabat wakil jualan sebagai sebahagian daripada rancangan pembesaran dalam dan luar negara mereka.
“Sebanyak RM15.7 juta lagi akan diperuntukkan untuk pembesaran dan naik taraf pusat pakar sedia ada, kemudahan, dan pejabat korporat; RM2.2 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta baki RM25.9 juta untuk modal kerja am, tujuan am korporat dan pembayaran perbelanjaan penyenaraian,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Dr. Colin Lee Soon Soo berkata, Kumpulan telah mengalami pertumbuhan yang luar biasa sejak penubuhannya, berkembang daripada 11 kakitangan kepada lebih daripada 140 kakitangan kini.
Beliau berkata, daripada sebuah pusat, Kumpulan telah berkembang untuk mengendalikan tiga pusat pakar, masing-masing berdedikasi untuk menyediakan penjagaan dan kepakaran yang tiada tandingan.
“Paling penting, kerja keras kami telah membantu kelahiran lebih 7,000 bayi di Malaysia, dan seluruh dunia,” katanya.
Menurut beliau, melalui IPO, Kumpulan mahu mengumpul kira-kira RM116.6 juta hasil yang akan membantu menyokong perbelanjaan modal dan modal kerja Kumpulan untuk pertumbuhan masa hadapan.
Kumpulan pakar penjagaan kesuburan itu berhasrat untuk berkembang di dalam dan di peringkat antarabangsa, menandakan babak baru dalam strategi pertumbuhannya.
Ia juga menetapkan dasar dividen untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada keuntungan teraudit tahunan selepas cukai boleh diagihkan kepada pemegang saham.
“Tunjang pertama strategi pertumbuhan kami tertumpu pada pengembangan domestik, kerana kami menyasarkan untuk menubuhkan tiga pusat kesuburan di Malaysia menjelang tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026 (TK2026),” katanya. – UTUSAN










