PUTRAJAYA: Lebih 600,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terlepas peluang menyertai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (PRTK) supaya pulang ke negara asal masing-masing menerusi Program Repatriasi Migran (PRM) yang dilaksanakan bermula hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PATI berkenaan boleh tampil ke mana-mana pejabat Jabatan Imigresen (JIM) serta membawa sebarang dokumen berkaitan untuk permohonan mereka diproses.
Menurutnya, kesemua individu berkenaan mempunyai masa kira-kira 10 bulan dari sekarang sehingga penghujung Disember ini untuk berbuat demikian dan akan dikenakan jumlah kompaun yang minimum bagi beberapa kesalahan di bawah Akta Imigresen tanpa pemenjaraan.
“Dari 1.1 juta, kita tengok pada sudut yang lepas, yang berakhir dengan verifikasi dan berjaya untuk bekerja kira-kira 50 peratus.
“Maknanya lebih kurang 600,000 yang lain ini patut mengambil peluang (untuk pulang). Kalau mereka terlepas sehingga penghujung Disember, kita anggap mereka sebagai PATI dan ketika itu kita akan ambil tindakan penguatkuasaan ke atas mereka.
“Mereka yang tak memilih untuk bekerja di sini, boleh pilih program ini untuk pulang ke negara asal,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Jelasnya, setakat pukul 12 tengah hari ini, seramai 848 orang PATI sudah mendaftar untuk menyertai PRM.
Media pada 31 Januari lalu melaporkan, kerajaan akan melaksanakan PRM bermula 1 Mac ini bagi memudahkan penghantaran pulang warga asing yang tinggal di negara ini secara tidak sah dengan membayar kompaun.
Sebelum ini, kerajaan melaksanakan RTK yang tamat pada 31 Disember 2023 bagi memberi peluang kepada majikan untuk memohon pekerja asing tanpa izin bagi mengisi keperluan tenaga kerja.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pendaftaran dan pelaksanaan PRM dikawal selia oleh JIM sepenuhnya dan semua pihak perlu mengambil perhatian bahawa program berkenaan tidak melibatkan mana-mana pihak ketiga.
“Kita ingatkan juga kepada kelompok terlibat, kalau ada niat nak gunakan khidmat ejen, lupakan, kita tidak perlukan atau tidak akan layan,” ujarnya. – UTUSAN











