KUALA LUMPUR: Kumpulan Rentas Parti Politik Parlimen Malaysia (KRPPM) mahu perkara berkaitan had pendanaan dan kelayakan penderma dibincangkan dalam mesyuarat berhubung usaha menggubal dan merealisasi akta dana politik yang akan diadakan pada minggu ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi KRPPM, Wong Chen berkata, mesyuarat itu akan diadakan bersama Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.
“Kumpulan kami minat dalam isu pendanaan politik (khususnya pendanaan daripada kerajaan). Isu yang akan dibincang berhubung had dana dan siapa yang boleh memberi dana. Ini penting, kalau dananya bukan dalam jumlah yang besar, maknanya tiada pengaruh politik.
“Draf yang kami cadang sudah selesai cuma, versi antara pihak kami dan kerajaan akan bertemu di pertengahan jalan dan bertukar pendapat. Dalam kumpulan ini, kami hanya bertindak sebagai penasihat dan JKPK diketuai oleh William Leong Jee Keen (Ahli Parlimen Selayang),” katanya ketika ditemui di Parlimen semalam.
Pada Mei tahun lalu, Wong Chen menggesa supaya kerajaan mempercepat pembentangan RUU berkaitan pendanaan politik atau selewat-lewatnya pada Mac ini.
Kumpulan itu sebelum ini merancang menghantar draf merangkumi beberapa cadangan untuk dipertimbang iaitu memasukkan elemen pendanaan politik daripada kerajaan.
Ini kerana, katanya, draf yang dirangka sebelum ini tidak mempunyai elemen tersebut dan keperluan pendanaan politik daripada kerajaan amat penting untuk negara demokrasi.
RUU pendanaan politik dijangka dibentang untuk bacaan pertama dan kedua di Dewan Rakyat pada November tahun lalu, namun ia tidak sempat dibahas susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kerajaan kemudian merujuk cadangan RUU pendanaan politik kepada JKPK untuk mendapatkan pandangan pihak-pihak berkepentingan.
Azalina sebelum ini berkata, terdapat tujuh pertimbangan ketetapan dasar berkaitan RUU pendanaan politik antaranya peranan mengawal selia dilaksana oleh sebuah badan berkanun Persekutuan sebagai entiti bebas, berkecuali dan membolehkan pengawalan sumbangan politik dibuat sepanjang masa dan bukan ketika pilihan raya sahaja.
Sementara itu, Pengerusi KRPPM mengenai Integriti, Governans dan Anti Rasuah, Syed Ibrahim Syed Noh ketika ditemui berkata, pelaksanaan undang-undang pendanaan politik adalah sukar namun yakin masih ada jalan untuk merealisasikannya.
“Kerana budaya dan tradisi politik di Malaysia berdasarkan sumbangan dana, jadi mahu ubah bentuk budaya yang biasa kepada yang lain akan mengambil masa.
“Mungkin sesetengah ahli dan parti politik tidak setuju dengan undang-undang ini. Sebab itu, kita (ahli Parlimen) mesti ada tekad politik jika mahu laksanakan,” katanya. – UTUSAN










