Konsep moden transitional mungkin agak jarang didengar berbanding konsep rumah ladang atau Scandinavian.
Namun, konsep ini sebenarnya tidak kurang menariknya jika dibandingkan dengan konsep-konsep lain.
Ia sesuai bagi pemilik kediaman yang gemarkan suasana moden tetapi tidak keterlaluan.
Seperti kediaman milik pegawai perubatan, Norhafizah Rumainor ini yang mengetengahkan konsep berkenaan.

Katanya, tema itu dipilih kerana bersesuaian dengan jiwanya yang sukakan suasana moden tetapi dalam masa sama masih mengekalkan sedikit elemen tradisional.
“Saya gemar menghias rumah dengan barang-barang dekorasi, bunga dan tumbuhan hijau yang sebenar atau tiruan.
“Moden transitional mengetengahkan konsep rumah yang malar segar, tidak terlalu tradisional atau moden.
“Konsep ini membuatkan penghuni rumah dan tetamu terasa lebih selesa dan nyaman,” katanya kepada Seri.

Kombinasi warna neutral
Mengulas lanjut, kata wanita berusia 35 tahun ini, konsep berkenaan menggabungkan warna-warna neutral seperti krim, kelabu, warna kayu dan hitam.
“Konsep ini membuatkan tempat tinggal kami nampak moden tetapi ia masih memberikan rasa tenang semasa berada di rumah.
“Elemen utama rumah seperti kabinet dapur terbina, kabinet televisyen dan pemilihan perabot atau barang hiasan tambahan berada dalam palet warna yang sama iaitu neutral,” jelasnya.
Walaupun tema yang dipilih menggunakan beberapa perabot dan aksesori, namun kata Norhafizah kerja-kerja mengemas rumah teres berkeluasan 2,044 kaki persegi itu tidak begitu susah.
Hal ini kerana katanya, barangan hiasan tambahan seperti pasu dan bunga tiruan atau lilin sesuai diletak di pelbagai sudut sama ada dapur atau ruang tamu.










