GAZA: Setiap hari anaknya mengimpikan roti segar, malah semua kanak-kanak- di Gaza kini hanya mengharapkan untuk menikmati air bersih dan makanan tanpa mahu memikirkan masa depan mereka, luah seorang ibu, Samar al-Saeedi.
Samar menjelaskan keadaan kesihatan di Gaza City semakin memburuk dari hari ke hari dan tiada rawatan atau ubat untuk membendung penularan penyakit yang kebanyakannya disebabkan oleh kekurangan air.
“Anak kecil saya bermimpi makan roti. Malah semua anak kami mengidam untuk makan roti dan minum air bersih. Ketidakupayaan untuk memenuhi keperluan mereka adalah perkara yang menyakitkan sebagai ibu bapa.
“Dunia memerhati kami dan tidak melakukan apa-apa, sementara kami dikelilingi oleh kematian akibat pengeboman, kelaparan, dan kehausan,” katanya.
Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Gaza kini sedang mengalami krisis kelaparan yang paling teruk di dunia.
“Ini adalah malapetaka buatan manusia sepenuhnya akibat serangan berterusan dan pengepungan Israel terhadap wilayah yang menyebabkan orang awam kelaparan,” kata OCHA dalam laporannya.
Pada 9 Oktober lalu, hanya dua hari selepas perang genosid Israel ke atas Gaza, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant mengumumkan pengepungan sepenuhnya ke atas utara wilayah itu dengan kenyataan biadapnya.
“Tidak akan ada elektrik, tiada makanan, tiada bahan api, semuanya ditutup. Kami memerangi haiwan manusia dan kami bertindak sewajarnya,” katanya.
Walaupun beberapa konvoi kemanusiaan dibenarkan memasuki Gaza, bilangan trak menurun secara mendadak berbanding bulan sebelum perang.
Penurunan itu berlaku walaupun ketika Gaza yang musnah lebih memerlukan ubat-ubatan yang menyelamatkan nyawa, makanan, malah air yang menjadi bekalan kritikal.
Keadaan kesihatan penduduk juga bertambah buruk di wilayah utara dan di Gaza City, di mana Israel terus menghalang semua akses kepada bekalan, air, ubat-ubatan dan bahan api yang menyelamatkan nyawa.
“Sejak permulaan operasi darat tentera Israel lebih 100 hari lalu, kami mengalami kebuluran sebenar. Setiap hari penderitaan kami bertambah.
“Kematian akibat lapar dan dahaga merebak ke mana-mana. Kami tidak dapat menyediakan makanan dan air untuk rakyat kami dan untuk kanak-kanak, dan ini membuatkan kami berasa tidak berdaya.
“Kematian mengelilingi kita, dan tangisan anak-anak yang kelaparan dan dahaga kedengaran sepanjang masa,” kata penduduk, Ayman al-Hattu kepada The Palestine Chronicle.
Aiman berkata, tiada lagi bekalan tepung di Gaza City dan, jika ada, harganya sudah meningkat lebih 30 kali ganda.
“Kami tidak mempunyai wang untuk membelinya, dan tidak ada bank, gaji, atau kerja. Perang memusnahkan segala-galanya,” katanya.











