PUTRAJAYA: Dasar ‘National Load Centre’ yang diperkenalkan pada 1990 bagi memusatkan semua perkhidmatan kargo di Pelabuhan Klang, Selangor tidak lagi terpakai.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan untuk tidak mengunakan dasar itu dipersetujui pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memandangkan pelabuhan tersebut kini mengendalikan jumlah kontena tempatan untuk import dan eksport melebihi enam juta TEUs (unit bersamaan 20 kaki).
“Ini juga buat kali pertama Kementerian Pengangkutan buat pengumuman ini kerana selama ini memang ada pelbagai persepsi yang tidak tepat khususnya di Sabah yang merasakan bahawa kapal asing tidak pergi ke pelabuhan di Sabah kerana kita ada dasar berkenaan.
“Saya ingin tegaskan bahawa dasar itu tidak lagi terpakai dan mana-mana pelabuhan boleh dijadikan pelabuhan loading atau dipanggil oleh mana-mana syarikat perkapalan secara terus,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, keputusan untuk singgah di mana-mana pelabuhan Malaysia adalah dibenarkan dan tertakluk kepada keputusan komersial syarikat perkapalan.
Jelasnya lagi, syarikat perkapalan antarabangsa boleh terus berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara ini sama ada di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak.
Dalam perkembangan sama, katanya, kapal tempatan dan asing yang melaksanakan perkhidmatan kargo dalam perairan Malaysia perlu memohon Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) atas faktor-faktor Keselamatan negara.
Katanya, proses permohonan DSL dipermudahkan dan akan diproses dalam tempoh tiga hari.
“Jadi untuk isu keselamatan kita mewajibkan supaya mana-mana syarikat laksana perkhidmatan kargo dalam perairan negara mesti ada DSL, ia amat mudah,” katanya.
Katanya, semua kapal asing boleh menyediakan perkhidmatan perkapalan secara terus (Direct Call) dari pelabuhan-pelabuhan asing ke mana-mana pelabuhan di Sabah, Sarawak dan Labuan untuk mengangkut barangan import atau eksport.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata, Jemaah Menteri juga bersetuju secara prinsip dengan cadangan peluasan Had Pelabuhan Desaru dan penentuan kawasan had pelabuhan Desaru yang baharu adalah tertakluk kepada kajian Majlis Keselamatan Negara.
“Langkah peluasan had pelabuhan ini adalah diperlukan untuk memastikan kawalan keselamatan yang lebih ketat terhadap kapal-kapal yang berlabuh secara haram di kawasan perairan tersebut dan juga membolehkan aktiviti-aktiviti perkapalan dikawal selia dengan lebih baik,” katanya. – UTUSAN











