Bahasa kreol identiti kaum Chetti

Bahasa kreol identiti kaum Chetti

PASANGAN Anandan Suppiah dan Sumitra Dewi Pillay mahu memastikan bahasa dan budaya kaum Chetti terus terpelihara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUBUNGAN saya dengan komuniti Chetti di Kampung Chetti, Jalan Gajah Berang, Melaka bermula pada 2006. Sejak itu, saya sering mengunjungi kampung berkenaan untuk mengekalkan silaturahim dan mengikuti perkembangan terkini.

Ramai warga emas yang saya kenali sudah meninggal dunia manakala golongan remaja sudah menjadi dewasa dan berumah tangga.

Antara orang Chetti yang saya kenali sejak mereka remaja ialah pasangan Anandan Suppiah dan Sumitra Dewi Pillay. Mereka kini tinggal di Johor Bahru dan bekerja di Singapura. Pada 18 Februari lalu, kami berpeluang bertemu dan makan tengah hari di Restoran Peranakan Chetti Melaka Wen’s Kitchen, Jalan Tengkera.

Saya menggunakan peluang itu untuk berbual tentang situasi penggunaan bahasa Chetti Melaka atau apa yang dikenali sebagai bahasa Melayu kreol Chetti. Untuk rekod, sebagaimana dihuraikan dalam buku Mandala Bicara (2016) dan Suvarna Bhumi (2022), komuniti Chetti berketurunan Tamil tetapi bahasa ibunda mereka secara turun-temurun ialah kreol Chetti yang menggabungkan bahasa Melayu, Tamil dan Cina.

Sejak 18 tahun lalu, saya perhatikan sendiri perubahan yang berlaku dari sudut penggunaan bahasa Chetti oleh penduduk Kampung Chetti. Terdapat tiga jenis bahasa kreol (creole) yang unik di Melaka iaitu bahasa yang digunakan komuniti Chetti, Baba Nyonya dan Portugis. Ketiga-tiganya memiliki unsur linguistik dinamakan pijin (pidgin) iaitu campuran beberapa bahasa yang menghasilkan satu dialek pertuturan unik.

Segala hal berkaitan Kampung Chetti dan komuniti Chetti tertakluk di bawah peraturan Jawatankuasa Pengurusan Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorti yang diasaskan pada 1781. Segala peraturan itu diluluskan pada 18 Februari 1940 dan diguna pakai sehingga kini dengan sedikit pindaan dari semasa ke semasa.

Misalnya, komuniti Chetti wajib menganut agama Hindu mazhab Saiva serta mengamalkan budaya dan tradisi Chetti Melaka seperti bahasa kreol, pakaian dan adat resam yang unik milik kumpulan penduduk ini.

Agama Hindu dan komuniti Chetti tidak dapat dipisahkan. Ada sekurang-kurangnya sepuluh kuil dimiliki atau diuruskan komuniti Chetti sejak turun-temurun. Jika menghadiri upacara keagamaan dan sambutan ponggol (pesta menuai), kita dapat menikmati komunikasi bahasa Chetti yang amat unik dan menarik.

Memandangkan jumlah orang Chetti yang masih tinggal di Kampung Chetti semakin berkurangan, saya perhatikan situasi di mana penggunaan bahasa Chetti semakin luntur. Topik ini juga saya bincangkan bersama Anandan dan Sumitra.

“Saya dan suami menggunakan bahasa Chetti dalam komunikasi harian. Begitu juga dengan ibu bapa dan mertua. Dengan anak pula, kami menggunakan bahasa Inggeris. Dia sudah berumur tiga tahun sekarang dan kami mula menerapkan penggunaan bahasa Chetti dengannya juga,” Sumitra menceritakan.

Pasangan itu mengaku, dalam bidang pekerjaan, mereka lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris. Ramai juga orang Chetti Melaka bekerja di Singapura maka mereka bertemu apabila ada peluang. Dalam keadaan itu, mereka pasti menggunakan bahasa Chetti, termasuk di tempat awam tanpa rasa segan.

“Kami balik ke Melaka mungkin dua bulan sekali. Maka, ada peluang menggunakan bahasa Chetti dengan penduduk kampung. Dalam urusan dengan orang awam, misalnya di kedai makan, kami menggunakan bahasa kebangsaan standard,” Anandan menambah.

Sumitra dan Anandan turut mengimbau pengalaman di sekolah dahulu di mana mereka sudah membiasakan diri menggunakan bahasa Chetti di luar sekolah dan bahasa standard di sekolah.

Mereka gembira kerana kanak-kanak dan remaja kaum Chetti sekarang masih menggunakan bahasa Chetti. Budaya tradisi yang menjadi kebanggaan komuniti Chetti dipelihara turun-temurun.

Pada masa sama, golongan belia dan dewasa yang sudah berpindah keluar dari Kampung Chetti juga masih menggunakan bahasa Chetti dalam perbualan seharian. Mereka sedar bahawa jika tidak digunakan dan diamalkan, bahasa Chetti yang unik ini akan pupus.

Dalam pada itu, salah satu matlamat jawatankuasa penduduk Kampung Chetti ialah meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa Tamil dalam kalangan kaum Chetti. Pada pemerhatian saya, berbanding sedekad lalu, generasi muda di kampung ini sudah semakin menguasai bahasa Tamil.

Salah satu sebab ialah lebih ramai lelaki kaum Chetti berkahwin dengan wanita Tamil dari luar. Misalnya, T. P. Chandran Pillay yang saya temui sewaktu melawat Muzium Chetti. Dia faham bahasa Tamil walaupun tidak pandai bertutur bahasa itu.

“Saya berkahwin dengan wanita Tamil. Anak-anak saya pandai bahasa Tamil. Mereka belajar di sekolah Tamil dan sekolah Cina serta pandai bercakap, membaca dan menulis Tamil dan Mandarin,” katanya.

Chandran bersetuju memang semakin ramai lelaki Chetti berkahwin dengan orang Tamil. Maka, bahasa ibunda bagi anak-anak mereka ialah Tamil, walaupun mereka masih tahu bahasa Chetti.

Namun, pada pemerhatian Anandan, ada pula sebilangan keluarga kaum Chetti yang berpindah keluar dari Kampung Chetti lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi keluarga walaupun ibu dan bapa memang orang Chetti.

“Sebagaimana dalam kalangan komuniti lain juga, ibu bapa ini mungkin menganggap bahasa Inggeris amat penting. Sebab itulah mereka menerapkan dan menjadikannya bahasa komunikasi dalam keluarga,” Sumitra menambah.

Segala upacara dan adat-istiadat kaum Chetti menggunakan bahasa Chetti. Ini salah satu sebab mengapa bahasa Chetti terus hidup dan diamalkan komuniti ini sejak zaman-berzaman. Pada pandangan Anandan dan Sumitra, usaha ini perlu bermula di rumah dengan bimbingan ibu bapa.

“Di sekolah, anak-anak komuniti Chetti perlu memastikan bahasa kebangsaan digunakan tanpa campur-aduk bahasa Chetti. Hal ini sama juga dengan cabaran dihadapi orang Melayu yang menggunakan loghat dan dialek mengikut negeri.

Kalau tiada usaha memelihara loghat, dialek atau kreol, maka ia akan mula terhakis kerana generasi muda semakin jarang mengamalkannya,” Anandan menegaskan. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×