SEREMBAN: Tiada sebarang tindakan penutupan jalan dibuat sepanjang dua hari pelaksanaan Operasi Gerak Gempur Pembersihan Pusat Bandar yang bermula hari ini di bandar ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, bagaimanapun kon penghadang akan diletakkan di sebahagian jalan terlibat bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dapat dilakukan oleh petugas.
“Lokasi pembersihan yang terlibat terdiri daripada Jalan Sungai Ujong membabitkan persimpangan Seremban Gateway-persimpangan lampu isyarat Taman AST; Jalan Sungai Ujong; Jalan Tun Dr. Ismail; Jalan Tuanku Munawir; Jalan Yam Tuan; Jalan Zaaba; Jalan Tuanku Antah; Jalan Dato’ Bandar Tunggal dan Jalan Dato’ Muda Linggi.
“Operasi yang dijalankan ini lebih menumpukan kepada pembersihan kawasan bahu jalan, kawasan island (lampu isyarat), pembersihan jalan, sapuan jalan, pembersihan longkang dan tempat awam di jalan-jalan awam milik Jabatan Kerja Raya (JKR),”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Operasi Gerak Gempur Pembersihan Pusat Bandar di Dataran Seremban di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan (SWCorp), Hazahar Hashim.
Arul Kumar dalam pada itu berkata, kerajaan negeri komited untuk memenuhi hasrat pembangunan yang seimbang dengan kepentingan mengutamakan kebersihan melalui pendekatan lebih proaktif.
“Pendekatan kerjasama dan kefahaman merupakan suatu kejayaan bersama semua pihak yang merentasi sempadan kementerian, jabatan, agensi dan organisasi di Negeri Sembilan. Ia selaras penekanan kerajaan dalam aspek kebersihan yang menjadi agenda utama pembangunan ekonomi negeri.
Katanya, matlamat operasi ini adalah untuk mewujudkan persekitaran yang bersih, ceria dan selamat untuk dikunjungi di samping meningkatkan kesedaran masyarakat setempat atas kepentingan serta kebertanggungjawaban terhadap kebersihan persekitaran.
“Selain itu, ia bagi meningkatkan tahap kebersihan di pusat bandar dan seluruh negeri. Menjadi harapan agar langkah ini dapat menjadikan Negeri Sembilan negeri terbersih di negara ini di samping negeri yang berdayahuni dan dinamik,” katanya lagi.-UTUSAN.











