Tidak semua barang, perkhidmatan terbabit kenaikan SST

Tidak semua barang, perkhidmatan terbabit kenaikan SST

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) seba­nyak dua peratus daripada enam kepada lapan peratus bermula hari ini tidak melibatkan barangan dan perkhid­matan yang selalu diperlukan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.

Ini kerana kenaikan tersebut tidak membabitkan keperluan asas atau harian seperti makanan dan minuman, tempat letak kenderaan, telekomunikasi, logistik, penggunaan elektrik bawah 600 kilowatt-jam (kWj) dan perkhidmatan air dirawat tidak terkesan.

Sebaliknya, SST lapan peratus tersebut hanya dikenakan kepada aktiviti berkaitan perkhid­matan yang bukan keutamaan seperti mengunjungi pusat karaoke, hotel, loteri, mesin perjudian dan perkhidmatan e-dagang serta insurans dan takaful.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan itu, peniaga dan syarikat pengendali perkhid­matan diingatkan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan mereka khususnya keperluan harian bagi mengaut keuntu­ngan berlipat ganda sekali gus membebankan rakyat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Fuziah Salleh berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang bertindak sesuka hati menaikkan harga barangan kesan susulan kenaikan dua peratus SST.

Menurut beliau, pihaknya melancarkan Ops Kesan dengan menggerakkan seluruh penguat kuasa bagi memastikan tiada cubaan peniaga mengambil kesempatan ke atas pengguna.

“Langkah penguatkuasaan ini akan ditumpukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengesan sebarang tindakan mencatut atau menaikkan harga secara tidak munasabah.

“Kita juga nak ingatkan semua pihak agar mematuhi perundangan sedia ada dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga atau mencatut atau tindakan tegas akan dikenakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bermula hari ini, kerajaan menaikkan kadar SST daripada enam kepada lapan peratus menerusi Perluasan Asas Fiskal di bawah Komitmen Reformasi Fiskal ketika pengumuman Belanjawan 2024.

Kelmarin, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika memperincikan perkembangan itu memaklumkan, rakyat tidak dibebani dengan kadar cukai kepenggunaan yang lebih tinggi khususnya dalam perkhidmatan keperluan penting seperti makanan dan minuman, tempat letak kenderaan, telekomunikasi dan logistik.

Menyentuh kesan bil elektrik, beliau menjelaskan, ia membabitkan mereka yang menggunakan lebih daripada 600kWj sahaja sekali gus bermakna kira-kira 85 peratus pengguna tidak terlibat kerana mereka berada di luar ambang.
SST juga tidak akan dikenakan kepada perkhidmatan air dirawat.

Mengulas lanjut, Fuziah memberitahu, Ops Kesan turut menyasarkan semua sektor yang melibatkan perubahan kadar cukai di seluruh negara.

Katanya, mana-mana pihak melakukan kesalahan mencatut boleh didenda sehingga RM100,000 bagi individu atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat tidak melebihi RM500,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini