PETALING JAYA: Berjaya Corporation Berhad (BCorp) mencatatkan rugi bersih lebih empat kali ganda kepada RM116.3 pada suku kedua tahun kewangan 2024 berakhir 31 Disember 2023, berbanding RM24.81 tahun sebelumnya, didorong oleh boikot kafe Starbucks yang timbul daripada konflik di Asia Barat.
Bagi tempoh yang sama, BCorp mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.23 bilion daripada RM2.34 bilion yang dilaporkan pada suku tahun sebelumnya.
“Segmen runcit mencatatkan hasil yang lebih rendah terutamanya disebabkan oleh penurunan hasil dalam perniagaan runcit makanan, terutamanya berpunca daripada boikot kafe Starbucks yang timbul daripada konflik Asia Barat.
“Perniagaan runcit bukan makanan melaporkan peningkatan dalam hasil pada suku semasa dalam tinjauan berikutan impak pertukaran asing yang menggalakkan apabila hasil H.R. Owen Plc (HR Owen) ditukar kepada ringgit,” katanya dalam pemfailan di Bursa Malaysia.
BCorp berkata, segmen hartanah melaporkan hasil dan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah terutamanya disebabkan oleh jualan unit kediaman luar negara yang berkurangan berbanding suku tahun sebelumnya.
“Segmen perkhidmatan mencatatkan hasil yang lebih rendah pada suku semasa terutamanya disebabkan oleh hasil yang lebih rendah yang dilaporkan oleh perniagaan perjudian, yang dikendalikan oleh STM Lottery Sdn Bhd (STM Lottery).
“Penurunan hasil ini disebabkan terutamanya oleh kurang bilangan cabutan yang dijalankan (42 cabutan berbanding 48 cabutan pada suku tahun yang sama tahun lepas),” ujarnya.
Mengulas mengenai prospek masa depan, BCorp berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka didorong oleh permintaan domestik yang sederhana dan kadar inflasi purata yang sederhana walaupun terdapat ketidaktentuan yang timbul daripada ketegangan geopolitik.
“Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, para pengarah yakin dengan berhati-hati bahawa prestasi operasi perniagaan kumpulan bagi baki suku tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 adalah memuaskan,” ujarnya. – UTUSAN










