KANGAR: Ibu bapa sekurang-kurangnya perlu membelanjakan antara RM300 ke RM400 bagi seorang anak yang bersekolah rendah bagi menyediakan keperluan menjelang sesi baharu persekolahan 2024/2025 bermula 11 Mac ini.
Bagi anak yang bersekolah menengah khususnya memasuki tingkatan satu, sekurang-kurangnya RM600 hingga RM700 diperlukan bagi setiap seorang termasuk buku dan keperluan lain jika memasuki asrama.
Bagi seorang bapa, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 39, yang mempunyai tiga anak bersekolah termasuk seorang anak di peringkat sekolah menengah memaklumkan, dia perlu menyediakan sekurangnya-kurang RM1,500 bagi menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak.
Kata kakitangan swasta itu, dia lebih mengutamakan penyediaan sekolah anak-anak terlebih dahulu berbanding memberi fokus kepada perbelanjaan kelengkapan Hari Raya Aidilfitri.
Ujarnya, bagi anak yang bersekolah rendah, perbelanjaan merangkumi pakaian sekolah, buku, pakaian sukan termasuk baju beruniform bagi anak yang memasuki darjah empat.
Bagaimanapun katanya, bantuan awal persekolahan RM150 bagi setiap seorang anak sedikit dapat membantu meringankan beban.
“Dua anak yang sekolah rendah, sekurang-kurang RM700 diperlukan, manakala anak seorang anak sekolah menengah sekurangnya-kurang RM600 dengan minimum perbelanjaan antara RM1,300. Perbelanjaan itu, tidak termasuk lagi anak yang memasuki darjah empat yang perlu baju beruniform lagi.
“Kalau boleh mansuh baju uniform sekolah itu, bagi pakai baju bebas sahaja dapat menjimatkan kos. Selain itu, antara kos lain seperti baju sukan untuk harian, baju untuk rumah sukan pun lain-lain. Kalau boleh, pakai satu baju sahaja, contohnya baju rumah sukan.
“Dalam keadaan sekarang kos semua semakin meningkat agak memberi cabaranlah. Apa-apa pun, kita perlu utamakan pendidikan anak-anak terlebih dahulu berbanding perkara lain termasuk hari raya tidak lama lagi,” katanya.
Seorang lagi kakitangan swasta, Fazima Mansor,35, pula berkata, kos perbelanjaan keperluan sekolah dua anak di sekolah rendah dianggarkan sekitar RM700.
“Saya menyediakan setiap dua pasang pakaian bagi setiap anak manakala alatan lain yang masih boleh digunakan seperti beg sekolah dan lain-lain, saya memilih tidak membeli baru. Dalam keadaan sekarang, kos semakin meningkat memerlukan kita berjimat-cermat.
“Bulan ini sehingga April, sememangnya banyak belanja perlu dikeluarkan termasuk persediaan Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi yang juga membabitkan kos yang tinggi.
“Seboleh-bolehnya, kita akan usaha untuk berjimat-cermat dan merancang perbelanjaan mengikut kemampuan. Baju sekolah dan kasut sekarang juga semakin tinggi berbanding dahulu,” katanya. – UTUSAN











