UniSZA kumpul 3,000 kg bahan penerbitan terpakai - Utusan Malaysia

UniSZA kumpul 3,000 kg bahan penerbitan terpakai

KAKITANGAN UniSZA menyusun bahan-bahan penerbitan terpakai yang dikumpul di kampus Gong Badak, Kuala Nerus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya mengumpul sebanyak 3,000 kilogram (kg) bahan penerbitan terpakai sempena Projek Pengumpulan Bahan Penerbitan bermula 18 Februari lalu.

Pengarah Kampus Besut, Prof. Dr. Mohd. Nordin Abdul Rahman berkata, bahan penerbitan terpakai dan usang seperti kertas, surat khabar lama, buku, majalah serta novel dikumpul dalam tempoh 10 hari.

“Alhamdulillah, sambutan luar jangkaan mencecah 3,000 kg bahan penerbitan hasil sumbangan daripada 91 orang penyumbang dalam kalangan warga UniSZA dan komuniti dari seluruh Terengganu.

“Secara keseluruhannya, projek ini telah berjaya membudayakan nilai kelestarian alam sekitar dalam memastikan kelestarian sejagat, meningkatkan kerjasama dengan agensi luar dan komuniti setempat serta memberi kesedaran untuk mempraktikkan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahnya, program tersebut diharap dapat menyuntik semangat orang ramai untuk mengitar semula semua bahan-bahan terpakai demi pembangunan lestari dan mengamalkan gaya hidup hijau ke arah menjadi komuniti bebas sampah.

Katanya, UniSZA juga akan terus berusaha mendidik dan memperkasakan warga universiti itu untuk turut serta ke arah kelestarian kampus sejajar dengan agenda Pelan Strategik Universiti (PSU 2023-2030).

“Projek anjuran Pusat Pengurusan Makmal Berpusat (CLMC) (Kluster Pengurusan Sisa) dengan kerjasama RD Papers Sdn. Bhd. itu turut mendapat sumbangan daripada syarikat.

“Antaranya, Syarikat Technorad Sdn. Bhd., Syarikat O&E Technologies Sdn. Bhd. dan Syarikat Permula Sdn. Bhd.,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×