KEB 2024: GST wajar dikembalikan kekang kartel pasaran gelap

KEB 2024: GST wajar dikembalikan kekang kartel pasaran gelap

HAFSAH HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan disaran mengembalikan semula sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai pelan jangka panjang membendung kartel pasaran gelap.

Memuatkan artikel berkaitan…

Demikian disuarakan oleh Ketua Kluster Daya Saing Perusahaan Bumiputera, Datuk Dr. Hafsah Hashim ketika membentangkan Sesi Libat Urus bagi kumpulan itu di sini hari ini menyifatkan cukai ini efektif.

Bercakap pada slot Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia itu berkata, walaupun ia dilaksanakan tidak lama iaitu cuma tiga tahun, GST terbukti berjaya membanteras ekonomi hitam yang secara umum dikuasai kartel bukan bumiputera.

Sistem percukaian yang diamalkan oleh lebih 170 buah negara itu mula diperkenalkan di negara ini pada 2015 lalu sebelum dimansuhkan pada 2018 mengakibatkan banyak kes peniaga tidak jujur memanipulasi rekod bisnes untuk lari daripada cukai yang mewujudkan ekonomi mafia.

Ketirisan yang berlaku itu mengakibatkan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia perlu membangunkan sistem iPatuh secara berperingkat sejak 2019 bagi mengesan penipuan.

Mengulas lanjut, Hafsah menjelaskan bahawa, cadangan itu diterima kluster berkenaan melibatkan sebahagian besar daripada 970 peserta di empat zon dengan 253 soalan.

“Saya cadang dibuat kajian semula kerana banyak kelebihan GST kepada pengusaha bumiputera sendiri berbanding sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” katanya.

Beliau memberikan contoh kejayaan percukaian tersebut yang sudah lama diguna pakai banyak negara untuk mengelak terlalu bergantung kepada kaedah cukai konvensional.

Bahkan ujar beliau, GST berjaya meningkatkan pendapatan negara ini lebih 200 peratus daripada SST untuk beralih daripada sumber cukai pendapatan individu dan petroleum.

Selain itu, Hafsah menyarankan insentif Koridor Raya Multimedia (MSC) dikembangkan ke Wilayah Pantai Timur yang amat memerlukan jaringan internet dengan kualiti digital.

Pada masa sama, beliau mengesyorkan agar diwujudkan ‘dashboard’ atau pangkalan data bantuan dan dana insentif di samping profil syarikat supaya program lebih bersasar.

“Bayangkan ramai tidak tahu kerajaan membelanjakan lebih RM11 bilion pada 2022 dan hampir RM10 bilion tahun lalu untuk bantu bakal usahawan bumiputera,” tambahnya.

Justeru tegasnya, data bersepadu itu wakar dikongsi pelbagai agensi supaya lebih ramai menerima manfaat dan memastikan tiada yang tercicir disebabkan tidak cukup maklumat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN