PUTRAJAYA: Kerajaan perlu mewujudkan satu polisi hala tuju ekonomi kitaran yang mampan supaya ia dapat menjadi ‘game-changer’ kepada ekonomi peneroka dan pekebun kecil di negara ini.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ekonomi kitaran itu dijangka memberi keuntungan lebih RM100 bilion jika ia mampu dilaksanakan khususnya membabitkan produk seperti minyak kapal terbang atau sustaible aviation fuel (SAF).
Beliau berkata, buat masa ini, nilai SAF sudah dua kali ganda harganya berbanding bahan api penerbangan biasa.
“Jika kita mahu menolong ekonomi bumiputera ini, kita mesti cari bidang yang penting ini pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan hasil libat urus kumpulan Felda dan Tanah Wilayah sempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di sini, hari ini.
Katanya, buat masa ini, Felda amat menekankan kepada sistem ekonomi kitaran kerana sisa kelapa ketika ini mempunyai nilai yang besar.
“Barang yang dipanggil sisa bukan sesuatu yang boleh dibuang tetapi menghasilkan nilai besar untuk negara,” katanya.
Katanya lagi, ekonomi kitaran lain yang boleh diberi tumpuan termasuk penjanaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui atau tahi minyak untuk ternakan larva.
Jelasnya lagi, dalam dunia kitar semula, industri ternakan larva adalah makanan masa depan malah, ia boleh menjadi asas makanan ternakan menggantikan jagung dan kacang soya.
“Idea ini mungkin tidak cukup serius namun, kita perlu menggunakan barang kitar semula untuk sumber tenaga jika tidak pelabur tidak akan datang untuk melabur,” katanya.
Mengenai syor penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera, beliau berkata, cadangan berkenaan perlu dilihat secara serius dalam KEB 2024 kerana ia akan membantu pemerkasaan bumiputera.
“KEB 2024 dijangka mewujudkan satu masyarakat yang seimbang dan adil untuk semua,” katanya. – UTUSAN










