Melaka tingkat pelaburan dengan bantuan IMFC

Melaka tingkat pelaburan dengan bantuan IMFC

AB. RAUF Yusoh bersama pemenang Anugerah-anugerah Penghargaan Jawatankuasa Industri pada Majlis Melaka Industrial Night 2024 di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) sebagai pusat pemudah cara berkaitan pelaburan di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk meningkatkan pelaburan di Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, MIDA Melaka dan Invest Melaka Berhad (Invest Melaka) akan memberi kerjasama penuh kepada IMFC dan menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Menurutnya, perkara itu amat penting dalam menjadikan Melaka sebagai negeri mesra pelabur dan mesra perniagaan, sejajar dengan aspirasi pelaburan nasional.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, sepanjang tempoh tiga tahun sejak 2021 hingga suku ketiga 2023, MIDA meluluskan sebanyak RM19 bilion bagi pelaburan baharu dan tambahan ke Melaka.

Katanya, ia merangkumi 480 projek yang berjaya mewujudkan hampir 10,427 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dan peringkat jawatan.

“Ketika saya memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri pada 2022, kita berjaya mencatatkan pelaburan tertinggi dengan nilai pelaburan sebanyak RM8.574 bilion.

“Ia sekali gus mengiktiraf Melaka antara lima negeri memperoleh nilai pelaburan tertinggi oleh MIDA. Ini menunjukkan kejayaan dalam hasil usaha sama antara kerajaan dan pihak swasta yang bersama-sama menggembleng tenaga dalam mewujudkan ekosistem pelaburan yang stabil, kondusif serta kompetitif menjadi kunci utama,” katanya ketika berucap pada Majlis Melaka Industrial Night 2024 di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, semalam.

Pada majlis itu, Ab. Rauf melancarkan Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri Melaka (CMIEA) dan turut menyampaikan Anugerah Penghargaan Jawatankuasa Industri kepada 19 syarikat serta Anugerah Penghargaan Pelaburan Lima Bintang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×