IPOH: Kes dua individu parah akibat melecur dalam kebakaran kereta dan motosikal di kawasan perumahan di Bercham di sini hari ini, diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh.
Difahamkan, mangsa yang terlibat dalam insiden itu merupakan pasangan kekasih.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, saksi memberitahu ada mendengar pertengkaran antara mangsa lelaki berusia 67 tahun dan wanita berusia 54 tahun sebelum kebakaran berlaku.
Katanya, apabila saksi keluar, dia melihat kenderaan dan kedua-dua mangsa telah pun terbakar.
“Kedua-dua mangsa mengalami kesan lecur yang teruk dan kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di zon merah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Siasatan sedang dijalankan dan kita akan merakam keterangan saksi-saksi terlibat. Kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut kes itu dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah IPD Ipoh, Asisten Superintenden Fadli Ahmad di talian 019-2500019.
Terdahulu, media melaporkan dua individu melecur teruk dalam kebakaran melibatkan sebuah kereta dan motosikal.
Kebakaran pada pukul 10.18 pagi itu melibatkan kereta jenis Perodua Alza dan motosikal jenis Honda C70.
Kedua-dua mangsa ditemui terbaring di tepi kereta dipercayai telah dibawa keluar oleh orang awam. – UTUSAN











