1,696 doktor kerajaan ‘cabut’

1,696 doktor kerajaan ‘cabut’

Kerajaan melaksana pelbagai insentif bagi memastikan pegawai perubatan kekal bersama sektor awam. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 1,696 pegawai perubatan meninggalkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2022, yang mendorong kerajaan memikirkan pelbagai inisiatif sebelum lebih ramai berbuat demikian pada masa hadapan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, se­banyak 54 peratus doktor daripada jumlah tersebut meninggalkan KKM kerana menerima tawaran berkhidmat di sektor swasta atau badan berkanun.

Katanya, didapati 4.5 peratus atau seramai 77 daripada jumlah keseluruhan pegawai perubatan yang meninggalkan sektor awam kini bekerja di luar negara.

“Selain itu, 28 peratus mening­galkan perkhidmatan awam disebabkan alasan periba­di, menerima tawaran berkhidmat di institusi pengajian tinggi awam (enam peratus), melanjutkan pelajaran (2.7 peratus), membuka klinik sendiri (0.8 peratus) dan 0.5 peratus tidak menyatakan sebarang alasan,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun [PH-Bukit Bintang] berhubung punca pegawai perubatan berhenti daripada sektor awam.

Sehubungan itu, Dzulkefly berkata, disebabkan ramai doktor meninggalkan KKM, kerajaan melaksana pelbagai inisiatif untuk memastikan pegawai perubatan kekal bersama sektor awam.

Jelasnya, kerajaan menetapkan gaji permulaan pegawai kontrak gred UD41 sebanyak RM5,197, iaitu jumlah jauh lebih tinggi berbanding skim perkhidmatan awam lain termasuk pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

Selain itu, katanya, kerajaan meningkatkan jumlah 9,822 pegawai lantikan tetap dalam tempoh 2019 hingga 2023 dengan pertambahan sebanyak 6,000 orang lagi untuk 2024 hingga 2025.

Katanya, kerajaan juga menyediakan insentif penawaran pengajian kepakaran menerusi kemudahan cuti belajar bergaji penuh dengan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dan Program Latihan Kepakaran.

“Kerajaan akan kekal membayar dan sedang meneliti elaun tugas atas panggilan dalam lingkungan RM200 kepada RM220 bagi panggilan aktif dan bagi panggilan pasif pada RM80 hingga 130.

“Untuk pakar bertugas atas panggilan pula dalam lingkungan RM230 hingga RM250 bagi panggilan aktif dan RM100 hingga RM160 untuk panggilan pasif.

“Seterusnya adalah elaun locum yang mereka lakukan selepas waktu pejabat di klinik dan hospital di ETD (Jabatan Kecemasan dan Trauma), kita beri RM80 sejam. Lebih kurang tiga, empat jam mereka kena bertugas,” katanya.

Selain itu, menyentuh ganjaran dan imbuhan, beliau berkata pegawai perubatan turut menerima elaun insentif kritikal RM750, elaun pembedahan RM80 sejam dan pakar pula dibayar RM200 sejam.

“Bayaran insentif juga berbeza mengikut tahap kesusahan dan keberadaan lokaliti tempat bertugas antara RM500 hingga RM1,500 bergantung kawasan pedalaman ataupun di mana mereka bertugas ketika itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta semua pihak untuk tidak membuat andaian berhubung skim pencen penjawat awam dan menunggu sehingga keputusan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang dilaksana pada masa ini diumum.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Dr. Alias Razak [PN-Kuala Nerus] mengenai perancangan jangka pendek dan panjang kementerian bagi menarik minat graduan perubatan untuk kekal berkhidmat dalam sektor kesihatan awam negara susulan kajian menghapuskan skim pencen penjawat awam.

Dalam pada itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mencadangkan kerajaan menggunakan sistem yang sama dengan Peraturan Waktu Kerja Eropah (EWTD) untuk mengelakkan keletihan dalam kalangan doktor.

Presidennya, Dr. Azizan Abdul Aziz berkata, purata minggu bekerja EWTD adalah 48 jam manakala doktor di Australia biasanya bekerja antara 35 hingga 38 jam seminggu.

Namun, katanya, doktor dalam sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia yang aktif melakukan tugas atas panggilan atau on call bekerja secara purata antara 60 hingga 84 jam seminggu.

“Untuk mengurangkan keletihan, MMA mencadangkan agar kerajaan mengguna pakai sistem syif untuk semua doktor yang melakukan panggilan aktif dalam penjagaan kesihatan awam.

“Tiga syif setiap hari sambil memperkenalkan elaun fleksibel untuk pegawai perubatan (MO), doktor pakar dan subpakar,” katanya.

Sejak Julai 2021, pegawai perubatan kontrak mengadakan beberapa siri kempen tunjuk perasaan menerusi Hartal Doktor Kontrak diikuti Mogok Doktor Malaysia pada April tahun lalu.

Mereka melancarkan mogok sebagai tanda protes di fasiliti kesihatan masing-masing antaranya  bagi menuntut perjawatan tetap dan jaminan pekerjaan.

Ia susulan mereka menghadapi risiko kehilangan kerja setelah tamat tempoh latihan di hospital kerajaan.

Kumpulan pertama dikenali sebagai Gerakan Hartal Doktor Kontrak melancarkan mogok secara aman pada 26 Julai 2021 di lokasi mereka bertugas dengan masing-masing membawa plakad dan ada yang berpakaian serba hitam.

Kumpulan kedua yang dinamakan Mogok Doktor Malaysia pula mengadakan mogok selama tiga hari pada 3 April tahun lepas sebagai memproses isu perjawatan mereka yang masih tergantung.

Mogok kumpulan kedua dilakukan dengan doktor kontrak tidak hadir bertugas selama tiga hari dengan mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan.

Dalam pada itu, jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak berkata, penetapan gaji permulaan yang lebih tinggi serta peningkatan jumlah lantikan tetap merupakan satu langkah yang terpuji.

Oleh itu, katanya, ia diharap boleh mengurangkan doktor muda dari berhenti dan keluar ke sektor swasta

“Namun, usaha lain (dengan) tambah elaun tugas atas panggilan atau on call dan semak gaji. Seterusnya, perjawatan tetap untuk semua pegawai perubatan dan perbaiki ‘budaya kerja di KKM’ yang dianggap agak toksik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×