SDEROT: Israel mengadakan pilihan raya tempatan ketika perang ke atas Gaza makin memuncak, menjejaskan jumlah keluar mengundi.
Puluhan ribu pengundi yang sudah dipindahkan dari kawasan berdekatan Gaza dan sempadan utara Lebanon dilaporkan terpaksa menunggu lebih lama sebelum dibenarkan membuang undi.
JUMLAH KELUAR MENGUNDI MENURUN
Meskipun penduduk di 242 kawasan perbandaran keluar mengundi pada Selasa, keputusan untuk menangguhkan pengundian di 11 daerah di kawasan-kawasan terdedah menjadi contoh jelas tentang kesan isu keselamatan paling besar ke atas Israel dalam sejarah penubuhannya selama 75 tahun.
Kehidupan di bandar-bandar besar seperti Tel Aviv sudah kembali seperti biasa sejak serangan pada 7 Oktober lalu, namun perang yang masuk hampir lima bulan di Gaza dan serangan-serangan roket di utara menyebabkan banyak sempadan masih lengang.
Di utara, di mana bandar-bandar dan kibbutzim di sempadan juga sebahagian besarnya lengang, tentera Israel menyatakan ia menyerang sasaran Hezbollah setelah sekitar 35 roket dilancarkan dari Lebanon ke arah kawasan Gunung Meron.
Malah tarikh undian yang bermula kelmarin itu sebenarnya sudah ditangguh dari tarikh asal iaitu 31 Oktober dan Januari lalu disebabkan pertempuran sengit di beberapa kawasan.
Penduduk Israel mengundi untuk memilih datuk bandar dan ahli majlis tempatan di 197 bandar dan bandar serta 45 wakil majlis wilayah.
Tujuh juta rakyat Israel layak mengundi, termasuk puluhan ribu petugas ketenteraan aktif di Gaza atau pangkalan Israel di mana mereka ditempatkan.
Menurut anggaran Kementerian Dalam Negeri, peratusan keluar mengundi dilihat jauh lebih rendah berbanding pilihan raya pada 2018.
Kekecohan turut dilaporkan berlaku menjelang pilihan raya dengan bantahan besar-besaran terhadap perubahan kepada badan kehakiman yang amat diinginkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
TUNJUK PERASAAN
Puluhan demonstrasi turut tercetus ketika perang di Gaza bermula apabila ahli keluarga tawanan mengecam Netanyahu yang lambat bertindak untuk menyelamatkan tebusan dengan protes anti perang disertai ratusan penunjuk perasaan yang mahu keganasan segera dihentikan.
Ramai pemerhati meletakkan pilihan raya tersebut sebagai referendum ke atas keseluruhan prestasi Netanyahu yang dilihat gagal mengendalikan serangan Hamas dan menggalakkan tentera rejim Zionis melakukan pembunuhan beramai-ramai orang awam di Gaza.
Ketika pilihan raya berlangsung, puluhan penduduk dan aktivisi liberal menyertai tunjuk perasaan membantah perang Israel ke atas Gaza di Dataran HaBima di Tel Aviv.
Berpuluh-puluh penunjuk perasaan berarak dengan papan tanda bertulis ‘Perang adalah jenayah dan nasionalisme membunuh’ serta ‘Hentikan pembersihan etnik’.
Terdapat juga kain rentang besar tertera nombor ‘30,000’ yang merujuk kepada jumlah penduduk Palestin yang dibunuh Israel dalam perang di Gaza.
“Golongan liberal seperti kami menghadapi banyak permusuhan, malah saya memilih untuk tidak mendedahkan nama keluarga kerana takut kepada pengawal dan pihak berkuasa Israel yang menindas protes anti perang baru-baru ini.
“Perang ini sebenarnya adalah pilihan yang dibuat sendiri oleh orang Israel,” kata seorang penunjuk perasaan Israel berketurunan Amerika Syarikat (AS), Addam.
Beliau menambah, kebanyakan penyokong berhaluan kiri Israel akan mengundi Kalanu, parti bersama Yahudi-Palestin yang diketuai oleh warga Palestin, Amir Badron yang berasal dari Yafa.
Seorang lagi aktivis dan sosialis yang tinggal di bandar campuran Palestin-Israel di Yafa, Tamy Pollak berkata, keputusan pilihan raya kali ini sangat penting dalam menentukan sama ada ketenangan dapat dipulihkan di bandar yang mempunyai ramai penduduk Palestin dan Yahudi.
Pollak juga mengakui bimbang dengan rancangan kontroversi Menteri Keselamatan berhaluan kanan Israel, Itamar Ben-Gvir yang mahu mempersenjatai orang awam Yahudi di bandar campuran itu.
Dalam pada itu, seorang bekas ahli majlis tempatan, Plia Kettner, 39, yang tinggal di Kfar Saba di pinggir bandar Tel Aviv percaya perang itu banyak mengganggu keharmonian dan membuatkan penduduk tawar hati untuk pergi mengundi.
“Beberapa retorik nasional dimainkan dalam kempen pilihan raya tempatan yang makin mempolarisasi orang ramai.
“Pada mulanya, tiada siapa yang menentang perang ini. Tetapi jika anda bertanya kepada orang ramai di jalanan, saya percaya lebih 50 peratus akan mengatakan mereka hanya mahu kerajaan segera memeterai perjanjian dengan Hamas untuk mengembalikan tebusan dan menghentikan semua kekejaman ini,” katanya.-AGENSI










