Tempoh bertenang sebelum laksana skim tanpa pencen

Tempoh bertenang sebelum laksana skim tanpa pencen

TEMPOH bertenang membolehkan kakitangan berstatus kontrak diserap ke jawatan tetap yang membolehkan golongan ini memilih skim pencen demi kelangsungan selepas bersara.– UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU skim pencen antara isu yang hangat diperkatakan pada masa kini. Perbincangan bukan setakat dalam ruang-ruang perbualan rakyat marhaen tetapi juga dalam pelbagai bentuk penulisan di akhbar-akhbar arus perdana.

Saya tidak mahu mengupas tentang isu dalam konteks perlu atau tidak skim pencen dihapuskan. Hal ini kerana perlu atau tidak bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan dan pada masa yang sama menyeimbangkan dengan keperluan semasa rakyat.

Biarlah mereka yang benar-benar mengetahui keupayaan kewangan kerajaan membuat keputusan yang adil untuk semua rakyat. Kepercayaan perlu diberikan kepada mereka.

Namun, apa yang ingin saya ketengahkan ialah jika kerajaan telah memutuskan skim pencen dihapuskan, saya berpendapat kerajaan perlu meneliti beberapa perkara terlebih dahulu terutamanya perlu adanya tempoh bertenang sebelum melaksanakan skim tanpa pencen dalam sektor awam Malaysia.

Dalam konteks ini, saya pernah berbual dengan beberapa orang kakitangan sektor awam yang berstatus kontrak. Berdasarkan perbualan itu, ada dalam kalangan mereka ini sudah lanjut usia dan berstatus kontrak melebihi 10 tahun. Dari segi prestasi kerja, mereka ini berprestasi tinggi, namun masih belum bernasib baik untuk mendapat status tetap. Tanpa status tetap mereka tidak mendapat kelebihan-kelebihan lain dalam sektor awam terutamanya untuk memilih skim pencen.

Skim pencen ini antara salah satu kelebihan utama dalam sektor awam. Ramai kakitangan sektor awam memilih skim pencen kerana sebagai jaminan kewangan selepas mereka bersara nanti.

Namun, apabila terdapatnya pengumuman bahawa skim pencen akan dihapuskan baru-baru ini, maka mereka yang berstatus kontrak terutamanya yang sudah bekerja melebihi 10 tahun dalam sektor awam berasa terkejut dan kurang motivasi. Inilah yang diluahkan mereka kepada saya.

Mereka ini adalah pekerja sektor awam yang sangat setia dengan sektor awam. Tiada siapa dapat meragui kesetiaan mereka kerana sanggup bekerja melebihi 10 tahun meskipun berstatus kontrak. Pengumuman penghapusan skim pencen juga memberi kesan negatif terhadap motivasi kerja mereka. Inilah yang perlu diteliti oleh kerajaan agar nasib golongan ini lebih terbela.

Hal ini kerana mereka ini sentiasa melaksanakan kerja dengan sangat memuaskan. Jika tidak, mana mungkin kontrak kerja mereka diperbaharui setiap kali sebelum tamat tempoh kontrak.

Ada dalam kalangan mereka pernah bertugas dalam pelbagai jabatan. Ini menggambarkan betapa banyaknya pengalaman mereka dalam pelbagai skop kerja dalam sektor awam.

Tidak diketahui secara tepat kenapakah sampai sekarang masih belum berstatus tetap walhal dengan pengalaman dalam pelbagai jabatan, setia dengan sektor awam dan memiliki prestasi kerja yang sangat baik, mereka masih tertunggu-tunggu berita dan berharap agar satu hari nanti status kontrak mereka bertukar menjadi tetap.

ADIL
Justeru, dalam hal ini, kerajaan perlu ada mekanisme terbaik agar situasi yang adil dan menang-menang dapat dicapai buat semua pihak. Dengan kata mudah, selain perlu adil dengan keupayaan kewangan kerajaan, perlu juga adil dengan nasib para pekerja sektor awam yang berstatus kontrak terutamanya yang sudah bekerja dengan begitu lama.

Secara khususnya, saya ingin mencadangkan agar kerajaan mewujudkan tempoh bertenang (cooling-off period) sebelum kerajaan benar-benar ingin melaksanakan skim tanpa pencen dalam sektor awam.

Tempoh bertenang ini boleh ditetapkan dalam tempoh yang mencukupi supaya mereka yang masih berstatus kontrak dapat diserap sebagai kakitangan tetap. Masa yang sesuai untuk tempoh bertenang ini juga mencukupi untuk mereka memilih skim pencen setelah disahkan jawatan.

Dalam tempoh bertenang ini, semua penjawat awam yang berstatus kontrak terutamanya yang bekerja melebihi lima tahun diserapkan sebagai kakitangan awam berstatus tetap.

Mereka juga perlu diberi peluang yang adil untuk diserapkan sebagai kakitangan awam berstatus tetap jika sekiranya kerajaan memutuskan skim pencen diteruskan pada masa akan datang.

Peluang seperti ini perlu diberikan kepada mereka agar mereka dapat bekerja dengan lebih baik, bermotivasi tinggi dan dapat mencurahkan tenaga yang lebih produktif dan berkualiti kepada sektor awam.

Sayugia diingatkan bahawa jaminan pekerjaan bagi pekerja kontrak dalam sektor awam ini sangatlah penting kerana umum mengetahui bahawa Malaysia akan menjadi negara tua pada masa akan datang. Ini bermakna lebih ramai rakyat yang bergelar warga emas tidak lama lagi.

Maka, dalam konteks ini, jika ada dalam kalangan mereka yang berstatus kontrak dan tidak memiliki pencen, maka bagaimana mungkin mereka dapat menempuh cabaran kewangan dengan baik tatkala usia tua nanti.

Bayangkan jumlah mereka ini ramai pada masa akan datang, maka dengan itu akan timbul pula isu-isu sosial lain yang menjejaskan kualiti kehidupan mereka dan secara tidak langsung memberi kesan tidak baik terhadap Malaysia.

Justeru, isu kakitangan kontrak dalam sektor awam perlu ditangani sebaik mungkin agar dapat memberi kebaikan kepada semua pihak yang terlibat.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Rohami Shafie ialah Pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×