SAUDARA PENGARANG,
MEMBACA merupakan kemahiran asas yang penting untuk perkembangan intelektual dan peningkatan ilmu pengetahuan. Bagaimanapun, minat terhadap membaca dalam kalangan pelajar sekolah didapati kian menurun.
Untuk mengatasi cabaran ini, satu strategi yang berkesan adalah dengan melaksanakan program membaca di dalam bilik darjah.
Setiap kelas perlu disediakan pelbagai jenis buku, termasuk buku kreatif dan non-kreatif dengan pelbagai judul yang sesuai dengan usia dan jumlah murid di dalam bilik darjah.
Setiap murid akan diberi tanggungjawab untuk membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap minggu pada masa senggang, sama ada di rumah atau di sekolah.
Pada minggu berikutnya, mereka akan bertukar buku dengan rakan yang lain. Ini bermakna, setiap pelajar akan berpeluang membaca sekitar 30 buah buku setiap tahun.
Faedah program ini tidak hanya menggalakkan pelajar di sekolah rendah dan menengah membaca secara bersistem tetapi juga mampu untuk menghidupkan perkembangan industri buku di negara ini.
Dengan meningkatkan permintaan terhadap buku, kita juga akan melahirkan lebih ramai penulis yang aktif menghasilkan karya yang berkualiti serta menanamkan minat menulis dalam kalangan generasi muda.
Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu menggalakkan pemaju untuk menyediakan perpustakaan mini di setiap pusat membeli belah. Ini memberi peluang kepada anak-anak untuk membaca semasa ibu bapa mereka membeli-belah.
Dengan adanya akses mudah kepada bahan bacaan, diharapkan minat membaca dalam kalangan pelajar akan terus berkembang.
Dengan pelaksanaan strategi ini, diharapkan kita dapat melahirkan generasi yang gemar membaca dan mempunyai pengetahuan yang luas serta menyumbang kepada pembangunan negara dalam jangka masa panjang.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan










