KULIM: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh melibatkan seorang pemandu lori di sebuah kedai kopi di Taman Damai, Padang Serai, Ahad lalu.
Lelaki berusia 31 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang itu ditahan di pekarangan Hospital Kulim, di sini kira-kira pukul 1 tengah hari semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintenden Safuan Md. Noor berkata, lelaki berasal dari Kuala Ketil itu memiliki dua rekod jenayah lampau melibatkan kes rusuhan bersenjata dan mendatangkan kecederaan.
“Siasatan awal suspek tidak mengaku terlibat dalam kejadian serangan terhadap mangsa dan memaklumkan dia telah dicederakan oleh seseorang menggunakan pisau semasa berada di depan kedai tersebut dan dihantar ke hospital oleh rakannya.
“Hasil siasatan mendapati kejadian ini ada kaitan dengan kes balas dendam hingga menyebabkan serangan terhadap mangsa yang meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.
Safuan berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek selain masih memburu beberapa suspek lain bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen, Mirza Mohamad membenarkan perintah reman selama tujuh hari ke atas suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan pihak polis.
Suspek yang tiba di Kompleks Mahkamah Kulim, di sini kira-kira pukul 8.30 pagi dengan berpakaian baju lokap berwarna jingga kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.
Akhbar ini melaporkan, seorang lelaki yang mengalami cedera parah maut selepas diserang dua lelaki yang bersenjatakan parang dan sabit di sebuah kedai kopi di Taman Damai, Padang Serai, Ahad lalu. -UTUSAN










