DTRC Ayer Keroh yang pertama kitar sisa makanan

DTRC Ayer Keroh yang pertama kitar sisa makanan

Rais Yasin diberi penerangan tentang proses sisa makanan dijadikan baja organik selepas merasmikan Pelancaran DTRC ArusV di Taman Perindustrian Taman Tasik, Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) di Tapak Perindustrian Taman Tasik Ayer Keroh dekat sini menjadi fasiliti pertama diwujudkan di negara ini yang memberi fokus untuk memproses sisa-sisa makanan.

Pengerusi Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, DTRC itu yang menawarkan kutipan sisa makanan belum lagi diperkenalkan di mana-mana DTRC sebelum ini.

Menurutnya, sisa makanan adalah komposisi yang tertinggi di Malaysia dan yang kedua tertinggi di Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang selepas plastik.

Katanya, DTRC yang dikendalikan di bawah syarikat ArusV Greentech M Sdn. Bhd. dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka turut menawarkan pembelian sisa makanan dengan nilai 10 sen sekilogram.

“DTRC ini seharusnya menjadi satu model yang boleh dicontohi di tempat-tempat lain kerana menawarkan kutipan sisa-sisa makanan untuk diproses.

“Ini sekaligus misi mengurangkan komposisi sisa makanan iaitu 30 peratus daripada 230 tan metrik yang sering dibuang di tapak pelupusan sampah di Sungai Udang akan tercapai,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran DTRC ArusV di Taman Perindustrian Taman Tasik Ayer Keroh, di sini semalam.

Rais berkata, ArusV Greentech menyasarkan tiga tan sisa makanan sehari dari komuniti setempat yang akan dikitar semula untuk menghasilkan baja organik dan produk lain yang memberi manfaat kepada pengguna.

Katanya, masyarakat boleh mengitar semula sisa makanan dari rumah tanpa lagi perlu membuang sisa baki ke dalam tong sampah. 

“Sebaliknya mereka boleh menghantar sisa makanan ini dihantar ke DTRC di sini yang disediakan selain dapat menjana pendapatan tambahan,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×