MET Malaysia laksana proses pembenihan awan di kawasan empangan

MET Malaysia laksana proses pembenihan awan di kawasan empangan

OPERASI pembenihan awan dilaksanakan menggunakan pesawat C-130 Hercules milik TUDM yang berlepas di Pangkalan Udara TUDM, Subang. - MetMalaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melakukan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di beberapa empangan bagi meningkatkan paras air susulan fenomena El Nino yang tiba pada penghujung Monsun Timur Laut.

Merujuk kepada kenyataan dikeluarkan jabatan itu, OPA dilaksanakan selama dua hari bermula semalam di sekitar Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam, Pulau Pinang serta Empangan Bukit Merah, Perak.

Operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan menggunakan pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas di Pangkalan Udara TUDM, Subang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“OPA kali ini menggunakan kaedah pembenihan basah iaitu semburan larutan garam biasa (NaC1). Larutan garam disediakan menggunakan 200 kilogram garam dengan 1,5000 liter air.

“Ia dilarutkan ke dalam empat buah tangki yang dimasukkan ke dalam pesawat dengan penerbangan ditetapkan pada ketinggi 1,500 hingga 2,000 meter setelah awan Kumulus Menara atau Towering Cumulus) dikenalpasti,” katanya.

Menurut jabatan itu lagi, OPA tidak mengubah cuaca sebaliknya kaedah tersebut digunakan untuk menggalakkan pembentukan titisan awan supaya menjadi lebih besar sekali gus menyebabkan ia turun sebagai hujan.

“Hujan boleh terjadi dalam tempoh 30 hingga 60 minit selepas pembenihan dilakukan namun pelbagai faktor lain turut mempengaruhi proses ini,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memaklumkan sama ada operasi pembenihan awan yang dilaksanakan MET Malaysia semalam berjaya atau sebaliknya.

Malaysia berdepan dengan cuaca panas dan kering berbanding keadaan normal terutama di bahagian utara Semenanjung, Sarawak dan Sabah sekurang-kurangnya hingga penghujung April ini akibat daripada fenomena El Nino.

Gelombang haba dengan suhu melebihi 35 darjah celsius akan mudah berlaku pada ketika ini dan ia dijangka mampu mencecah 40 darjah celsius di beberapa kawasan khususnya di utara Semenanjung. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini