Arif Aiman tidak sertai skuad B-23? 

Arif Aiman tidak sertai skuad B-23? 

AKSI Arif Aiman Hanapi sentiasa ditunggu peminat bola sepak tanah air. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat untuk menyaksikan pemain sayap Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi beraksi dengan skuad bawah 23 (B-23) kebangsaan dalam saingan Piala Asia B-23 pada April ini mungkin tidak akan menjadi kenyataan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, buat masa ini beliau masih menunggu senarai akhir pemain skuad B-23 yang akan dibawa oleh ketua jurulatih, Juan Torres Garrido ke kejohanan itu.

Menurut Hamidin, segala keputusan akan ditentukan oleh barisan kejurulatihan, namun hasrat untuk melihat Arif Aiman yang juga Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) musim lalu itu mungkin tidak kesampaian.

“Nanti kita tengok dahulu senarai daripada jurulatih (Garrido). Akan tetapi, pada pandangan saya, kalau di Eropah, pemain yang sudah bersama (beraksi) dengan skuad senior, dia tidak lagi beraksi buat pasukan junior.

“Ini juga berkaitan semangat dia. Kalau semua perlawanan dia pergi, dia akan pengsan (kepenatan),” kata Hamidin yang juga merupakan ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024 ketika ditemui pemberita, semalam. 

Sebelum ini, terdapat desakan daripada peminat dan juga pemerhati bola sepak tempatan agar pemain utama Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dilepaskan oleh kelab untuk beraksi dengan skuad B-23 negara di Piala Asia B-23.

Untuk rekod, Arif Aiman merupakan pemain utama di bawah kendalian pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon dan dia turut meledak ketika Malaysia mengikat gergasi Asia, Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E di Piala Asia 2023.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata, skuad B-23 akan berdepan beberapa siri persahanatan sebagai persediaan untuk bersaing dalam Piala Asia B-23.

Malaysia B-23 akan bertemu Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam dengan aksi pertama bakal bermula pada 17 April 2024 menentang Uzbekistan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×