BANGI: Abang sulung kepada lelaki yang diikat dan dipukul sampai mati dalam kejadian tular di media sosial, berharap lima tertuduh yang didakwa membunuh adiknya dikenakan hukuman setimpal jika didapati bersalah.
Shah Rizad Samad, 43, berkata, tiada siapa yang berhak memukul adiknya hingga maut meskipun jika mangsa melakukan kesalahan.
“Sudah ikat (mangsa), kenapa pukul lagi? Diikat bagaimana hendak lindungi dirinya? Kami (ahli keluarga) hadir ke mahkamah hendak tengok muka tertuduh (kes bunuh Shahril) dengan jelas.
“Kami tidak mengenali tertuduh, sebelum ini tak dapat tengok muka tertuduh. Kami tiada kuasa untuk tentukan (hukuman), kita hanya mahukan keadilan,” katanya sebak.
Terdahulu lima lelaki iaitu Mohd. Yuree Ranoff Mohd. Bachuri, 41, Azharul Azuan Mohd. Azan 34, Tengku Izham Tengku Hamid, 22, Mahazir Nordin, 43, dan Syamsul Qamar Ayob, 40, atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi.
Kesemua mereka bekerja sebagai penghantar makanan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd. Nawawi.
Pengakuan tidak direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan kelima-lima tertuduh didakwa bersama-sama telah membunuh Shahril Samad, 41, di Jalan TPS 2/3, Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang di sini pukul 9.54 malam pada 20 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Tiada ikat jamin diberikan terhadap kelima-lima tertuduh. Mahkamah kemudian menetapkan 25 April ini bagi sebutan laporan forensik, bedah siasat dan laporan kimia. – UTUSAN










