Pasak roh masyarakat madani

Pasak roh masyarakat madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK penubuhannya selepas bergema laungan Reformasi, PKR melalui beberapa fasa dan liku kepimpinan sebelum akhirnya Presiden iaitu pengasasnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dari nama parti yang berubah, kepada pakatan politik yang berjalan seiring dengan perkembangan politik tanah air, ia satu proses yang terus mematang dan mendewasakan parti, pastinya di sana tuntutan perjuangan yang semakin mendesak dan lebih mencabar menanti.

Mendepani suasana pasca PRU15 yang mana perubahan tampuk kepimpinan negara kali ini penuh dengan drama dan kejutan, dengan mood rakyat yang agak bercampur-campur dalam melayari gelagat politikus negara, segala kemungkinan seakan masih terbuka dalam perkembangan politik yang dilalui.

Cubaan menggugat kestabilan kerajaan dengan dijanjikan kejutan dan langkah yang akhirnya tidak satu pun menjadi satu kenyataan sebagaimana yang digembar-gemburkan malahan mainan persepsi yang akhirnya lenyap dibawa arus. Ada kalanya ia pergi dengan kesan negatif yang menambah perseteruan dan pertembungan dalam kalangan penyokong parti politik bawahan khususnya penyokong kerajaan dan pembangkang. Adilkah?

Turut terpalit adalah peluang pelaburan dan agenda pemulihan ekonomi yang dirancang. Kesan dari ekonomi global yang tidak menentu dan kejatuhan nilai mata wang ringgit terkini lebih menambah kerencaman dan pastinya pasang surut sokongan kepada parti politik tanah air.

Setiap pemimpin dan rakyat perlu melihat cabaran ini dalam konteks sebagai warga yang bertanggungjawab, bukan saling tuding menuding dan mengambil kesempatan atas dugaan ini. Apatah lagi kiranya ada apa yang disebut deep state mengganggu gugat pentadbiran kerajaan. Ia perlu dihapuskan once and for all.

Persembahan konsep Malaysia Madani pada dasarnya diterima baik dengan ruh dan semangat yang jelas mendahulukan kepentingan rakyat dan negara dalam mendepani bukan sekadar kemelut ekonomi negara bahkan memperbetulkan sikap rakyat terbanyak dan tata kelola di pihak kerajaan yang banyak terpalit dengan budaya negatif sebelumnya.

Kemuncak kepada pembersihan dan pertembungan ini adalah penyiasatan semula kes berprofil tinggi yang sedang rancak berjalan. Pastinya ia memberi gegaran dengan skala tersendiri kepada sentimen dan mood rakyat dan paling utama keyakinan para pelabur dalam meletakkan kembali kepercayaan kepada pemimpin negara.

PKR dengan kepimpinan Perdana Menteri sentiasa menjadi fokus dan suluhan khususnya pihak media bila terdapat isu yang mendapat perhatian umum. Dengan keunikan Kerajaan Perpaduan yang tertubuh hasil idea dan kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tindakan dan komentar yang boleh mencetuskan pertembungan dalam parti komponen seboleh mungkin cuba dielakkan walaupun kerap juga berlaku ‘serang menyerang’ demi menjaga sokongan parti masing-masing.

Atas keunikan ikatan inilah berjalannya satu lagi fasa baharu buat ahli-ahli parti untuk mengadaptasi satu ikatan yang dari masa ke semasa cuba dirobek oleh pihak yang hanya mementingkan diri dan cubaan menutup salah laku sepanjang berkuasa.

Dalam usaha memperkemaskan ikatan ini, secara tidak langsung ada kepentingan parti khususnya yang tidak dapat tidak, dikendurkan keutamaanya bila keutamaan bersama harus diberi penumpuan. Ini bukan saja berlaku dalam proses pemilihan calon malah perlantikan ke dalam kerajaan sentiasa menjadi seakan polemik yang sukar dicari titik pertemuannya.

Kebijaksanaan pemimpin dalam mengendalikan persoalan sebegini memerlukan kekuatan dan ketegasan dalam sedaya mungkin cuba meraikan kepimpinan di segenap lapisan dan ahli terbanyak. Namun kelihatannya, di sana ada juga dibayangi oleh kepuakan dan pertembungan pemimpin dalam parti yang berkisar kepada ingin menempatkan diri dan kabilah masing-masing.

PEMILIHAN PARTI
Proses pemilihan yang telus dan seterusnya menghormati keputusan mesyuarat amat ditagih dalam menggagaskan satu ketumbukan yang disegani. Pemimpin parti boleh dikritik namun bila keputusan bersama telah dibuat ia harus dihormati.

Andai keputusan parti dibayangi oleh kepentingan individu dan puak maka keutamaan yang dikatakan untuk menjaga keutuhan ikatan parti komponen PKR dan Kerajaan Perpaduan akan disalahguna. Jika ini dibiarkan, ia pasti akan mengambil ruang yang tidak adil untuk membina hala tuju dan gerak kerja parti. Hal ini akan membelakangkan aspirasi dan kehendak akar umbi parti.

Pemilihan parti semakin hampir dan ada juga kedengaran akan diawalkan. Sudah ada program formal parti yang sampul dihulur. Adakah ini satu petanda yang baik? Pastinya tidak! Bahkan ini ramuan menghasilkan barah yang meracuni darah merah perjuangan parti, atas apa alasan sekalipun.

Dalam menghadapi cabaran untuk memperkukuhkan ikatan parti komponen, maka perlu diperbanyakkan program-program yang mencerminkan keutuhan ikatan supaya tautan hati dapat dieratkan lagi khususnya dengan bakal hadirnya bulan mulia penuh keberkatan tidak lama lagi.

Kefahaman dan hasrat yang tersirat dalam mewujudkan masyarakat madani perlu dipasak. Proses pengislahan dengan roh perjuangan sebenar perlu terus diresapkan ke dalam hati melalui program-program penerangan yang berterusan.

Walaupun sebagai parti komponen kerajaan, imej bersederhana dan sentiasa cuba mempertingkatkan tanggungjawab dalam mendekati rakyat dalam memahami masalah yang dihadapi.

Ekonomi negara untuk separuh tahun pertama ini mungkin tidak sebaik yang diharapkan, berbanding unjuran untuk separuh tahun seterusnya. Namun usaha dan langkah menenangkan suasana termasuk mengawal kenaikan harga baharu keperluan.

Ibadah di bulan Ramadan tidak perlu dicacatkan dengan pembaziran perbelanjaan juadah dan persediaan menyambut Syawal yang melebihi kemampuan. Rakyat yang miskin tegar masih ada dan tertanggung atas ihsan pemimpin dan kerajaan yang bertanggungjawab untuk melunaskan hak mereka yang pastinya bakal dituntut suatu hari nanti.-UTUSAN

DR. Rosli Allani Abdul Kadir ialah Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×