SESEBUAH kerajaan biasanya dibentuk berasaskan sebuah parti politik atau gabungan beberapa buah parti politik yang mempunyai falsafah dan objektif utama penubuhannya. Ini penting bagi kelicinan pentadbiran dan pembentukan polisi kerajaan yang dibentuk. Dalam banyak keadaan hanya parti-parti politik yang mempunyai falsafah yang sama dan juga objektif yang sama akan membentuk sesebuah kerajaan.
Walaupun begitu dalam beberapa keadaan di mana tidak ada jumlah yang mencukupi bagi membentuk kerajaan daripada parti-parti politik yang mempunyai asas falsafah yang sama, sebuah kerajaan dibentuk daripada parti-parti politik yang berbeza secara jelas terpaksa dilakukan.
Sebagai contoh, empat buah parti politik terpaksa bergabung bagi mendapatkan bilangan anggota parlimen yang mencukupi bagi membentuk kerajaan. Sekiranya tidak wujud satu parti politik atau gabungan parti politik yang mempunyai asas falsafah yang sama atau hampir sama, sebuah gabungan yang berbeza falsafah dan pegangan politik dilakukan bagi membolehkan sebuah kerajaan dapat dibentuk.
Apa yang berlaku selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022 adalah contoh yang jelas. Tidak ada sebuah parti politik atau gabungan parti politik yang menang majoriti bagi membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan.
Apa yang berlaku selepas PRU15 adalah suatu yang tidak pernah terfikir oleh kita semua. Bagi membentuk kerajaan, Barisan Nasional (BN) dan parti-parti politik di Sabah dan Sarawak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH). Secara nyata bahawa BN dan UMNO mempunyai falsafah dan objektif perjuangan yang sangat berbeza dengan DAP.
Persoalannya, kenapa gabungan kerjasama UMNO-PH itu berlaku juga walaupun pada prinsip asas falsafah dan objektifnya penubuhannya sangat-sangat berbeza? Apakah kesan kepada pentadbiran dan pembentukan polisi pentadbiran?
Kenapa gabungan kerjasama UMNO-PH itu berlaku juga walaupun pada prinsip asas falsafah dan objektifnya penubuhannya sangat-sangat berbeza?
Gabungan itu perlu dilakukan adalah tidak lain bagi memungkinkan sebuah Kerajaan Persekutuan dapat dibentuk. Tanpa kerjasama itu, sebuah Kerajaan Persekutuan tidak mungkin dapat dibentuk.
Ketua negara seharusnya mencadangkan sesuatu sebagai jalan penyelesaian agar kedudukan Parlimen tergantung tidak berterusan dalam tempoh masa yang lama. Keadaan yang semakin parah akan berlaku andainya tidak wujud sebuah Kerajaan Persekutuan yang sah mengikut asas Perlembagaan negara.
Apakah kesan kepada pentadbiran dan pembentukan polisi pentadbiran? Secara jelas pembentukan kerajaan yang berasaskan kepada parti-parti politik yang berbeza falsafah dan matlamat perjuangan akan melalui cabaran yang besar.
Sokongan daripada akar umbi mesti dijaga bagi mendapat sokongan berterusan dalam pilihan raya akan datang. DAP tidak boleh dengan mudah keluar dan meninggalkan asas falsafah dan objektif perjuangannya bagi menjaga kepentingan kaum Cina misalnya.
UMNO juga tidak boleh lari daripada falsafah asasnya menjaga kepentingan pengundi dan orang-orang Melayu.
Jalan tengah yang bersifat liberal yang tidak merosakkan sokongan akar umbi perlu dilakukan dengan bijak.
Silap langkah dan keputusan yang silap akan memberikan kesan buruk kepada parti-parti politik berkenaan. Prinsip asas dan matlamat politik kepartian iaitu mendapatkan kuasa, menggunakan kuasa dan mengekalkan kuasa tetap tidak diketepikan.
Dalam kes UMNO dan DAP ini, tindakan dan keputusan mudah dilihat agak sukar. DAP mesti mempertahan prinsip dan falsafah asasnya menjaga dan melindungi pengundi-pengundi kaum Cina khususnya kepentingan kaum Cina bandar.
Begitu juga dengan UMNO prinsip dan falsafah asas menjaga kepentingan orang-orang Melayu mesti dipertahankan dan tidak sesekali diketepikan. Silap langkah UMNO akan ditolak oleh pengundi Melayu secara besar-besaran andainya tindakannya bekerjasama dengan PH khususnya DAP tidak dirasionalisasikan dengan yakin kepada pengundi-pengundi Melayu.
Kekalahan teruk UMNO dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam buah negeri lalu perlu dijadikan asas penilaian dan tindakan segera oleh UMNO.
Apakah jalan keluar jangka panjang yang mungkin perlu dilakukan? Apa yang sedang berlaku dalam gabungan parti-parti politik kerajaan sekarang perlu dilakukan sesuatu.
JALAN TENGAH
Jalan tengah perlu diambil oleh UMNO dan DAP andainya kerjasama jangka panjang ingin terus dilakukan. Umumnya orang Melayu melihat DAP lebih menjaga kepentingan kaum Cina, begitu juga umumnya orang Cina melihat kepada UMNO.
Sebagai parti yang sama-sama berada dalam kerajaan darjah ‘liberal’ perlu ditingkatkan yang boleh meyakinkan pengundi Melayu dan pengundi Cina. Bagi melihat hal ini dan sokongan pengundi merentas kaum calon UMNO perlu cuba bertanding di kawasan Parlimen atau DUN majoriti atau besar peratus pengundi kaum Cina, begitu juga calon DAP perlu bertanding dalam kawasan Parlimen yang besar peratus atau majoriti kaum Melayu.
Jika ini berjaya gabungan dan kerjasama jangka panjang akan kekal lama. Andainya ini tidak berlaku kerjasama dalam jangka panjang dalam tanda tanya. Mungkinkah UMNO akan mengambil jalan lain dan membentuk percaturan baharu dalam PRU akan datang dalam mengekalkan pengaruhnya dalam politik Malaysia?
Kerjasama parti politik yang berbeza falsafah tetapi berada dalam sebuah kerajaan adalah satu fenomena baharu dalam politik Malaysia yang tidak berlaku secara nyata sebelum keputusan PRU15, November 2022.
Sama ada ia kekal atau tidak akan bergantung kepada keputusan PRU akan datang. Andainya kerajaan perpaduan kekal berkuasa dalam beberapa PRU akan datang, maka kita dapat katakan bahawa pengundi Malaysia boleh menerima kerjasama politik ini.
Sebaliknya jika kerajaan perpaduan gagal mempertahankan kuasa dan diganti oleh gabungan parti-parti politik baharu yang berasaskan parti yang mempunyai falsafah asas yang sama, bermakna pengundi Malaysia tidak boleh menerima asas dan prinsip kerajaan perpaduan.
Keputusan ditangan pengundi, keputusan pengundi majoriti perlu membuat keputusan tepat. Penduduk pengundi majoriti perlu keputusan bijak dalam membina kestabilan dan kemakmuran.
Bersatu kita teguh, bercerai kita roh. Bercerai berpecah pasti kita roboh, tapi apakah asas falsafah yang tertancap di lubuk hati untuk kita bersatu dengan benar-benar teguh. Hak kita terjaga, kemakmuran dan kestabilan berterusan.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Kanan, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah.










