200 kompaun bernilai RM100,000 dikeluarkan biak Aedes - Utusan Malaysia

200 kompaun bernilai RM100,000 dikeluarkan biak Aedes

KASEMANI EMBONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengeluarkan 200 kompaun bernilai RM100,000 dalam tempoh kira-kira dua bulan pertama tahun ini membabitkan pembiakan nyamuk Aedes di premis-premis diperiksa jabatan itu.

Pengarahnya, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, sehingga kini sebanyak 168 kompaun telah dibayar membabitkan kutipan berjumlah RM17,490.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, jabatan telah memeriksa 31,337 premis dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 649 premis dikesan positif terdapat pembiakan jentik-jentik nyamuk.

“Bagi kes demam denggi di Terengganu, sebanyak 60 kes direkodkan dari Januari hingga 24 Februari berbanding hanya 49 kes dicatatkan berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Ia adalah peningkatan sebanyak 11 kes atau 22.4 peratus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambahnya, dalam tempoh itu juga sebanyak dua episod wabak denggi dilaporkan di Terengganu iaitu di Kampung Gaung Lubuk Kawah di Besut dan Taman Bukit Indah di Marang.

“Bagaimanapun, kedua-dua wabak itu adalah terkawal dengan dua kes demam denggi bagi setiap wabak tersebut dilaporkan setakat ini,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 19,604 premis telah dibuat semburan kabus setakat ini manakala 29,514 premis pula terlibat dengan semburan larvasiding.

Beliau berkata, antara faktor peningkatan kes demam denggi di negeri ini adalah kerana kurang kesedaran mengenai tanggungjawab memastikan kebersihan kawasan sekeliling.

“Oleh itu, kita akan berharap pihak berkuasa tempatan akan mengadakan program gotong-royong bersama-sama masyarakat setempat untuk mencegah kawasan pembiakan nyamuk Aedes di kawasan berisiko.

“Setakat ini, sebanyak 66 siri gotong-royong telah diadakan untuk mencari dan memusnahkan sarang pembiakan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×