IPOH: Penawaran diskaun premium tanah merupakan antara insentif disediakan kerajaan Perak bagi menarik pelaburan ke negeri ini.
Diskaun antara 10 hingga 30 peratus itu diberikan terhadap semua projek yang telah diluluskan dan menepati kriteria ditetapkan.
Pengerusi Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, selain diskaun tersebut, kebenaran untuk menjalankan kerja-kerja awalan turut ditawarkan kepada pemaju atau pemohon yang berminat.
Katanya, kedua-dua insentif tersebut disediakan setelah permohonan bagi Kebenaran Merancang (KM) dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak berkuasa berkaitan.
“Selain itu, proses kelulusan KM secara ‘fast-track’ (keutamaan atau laluan pantas) juga diberi tempoh 21 hari dengan syarat, semua keperluan dokumentasi adalah lengkap.
“Kerajaan negeri turut memberi remisyen cukai tanah dalam tempoh tiga tahun selepas tahun ‘production date’,” katanya ketika menjawab soalan lisan Jason Ng Thien Yeong (PH-Astaka) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Menurut beliau, konteks mentransformasikan negeri Perak ke arah perindustrian sedang giat dijalankan menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030.
Katanya, kerajaan negeri mengambil berat peranan industri dalam memangkin pertumbuhan ekonomi di Perak.
“Ini dapat dilihat menerusi konsep cadangan bagi penubuhan kawasan industri berteknologi tinggi yang giat dicadangkan untuk dibangunkan di kawasan Daerah Kerian dan Daerah Muallim.
“Sementara itu, di daerah Kinta turut akan dibangunkan hab logistik bagi teknologi hijau yang dijangka akan memberikan sebanyak 5,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya. – UTUSAN










