GEORGE TOWN : Seorang pengusaha minuman ais tingkap di Lebuh Tamil di sini mampu menjual sehingga 800 cawan minuman tersebut sehari terutamanya ketika cuti hujung minggu ekoran cuaca panas yang sedang melanda negara pada masa ini.
Mohd. Almi Seeni Mohamed, 37, berkata, dia juga mampu menjual minuman tradisi penduduk Pulau Pinang itu tidak kurang daripada 500 cawan sehari pada hari biasa memandangkan terdapat permintaan yang tinggi terhadap minuman berkenaan daripada kalangan para pelanggannya.
Katanya, ais tingkap atau juga dikenali sebagai air sarbat bukan sahaja mampu menghilangkan rasa dahaga, malah boleh meredakan suhu badan yang panas.
Untuk itu, Mohd. Almi berkata, dia dan pekerjanya memerlukan lebih 80 biji kelapa dalam tempoh sehari untuk menghasilkan ais tingkap yang segar kepada para pelanggan.
“Jumlah jualan pada musim panas memang ada peningkatan. Ditambah pula dengan cuti musim sekolah ini. Jadi, memang gerai kami sentiasa menjadi tumpuan ramai.
“Untuk pengetahuan juga, resipi asli ais tingkap ini memang kami kekalkan di mana air kelapa segar merupakan ramuan utama di samping tambahan pelbagai ramuan herba lain seperti getah anggur, selasih dan sebagainya yang mampu menyejukkan badan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Almi, seiring dengan perubahan masa, mereka turut menambah pelbagai perisa lain di dalam air ais tingkap itu bagi memenuhi citarasa pelanggan.
“Sebelum ini ada pelanggan bertanya sama ada, air sarbat ini boleh ditambah dengan buah-buahan lain seperti laici atau lemon.
“Jadi, kami cuba tambah laici dan lemon di dalam air sarbat ini dan rasanya bertambah sedap serta sesuai apabila diadun bersama dengan air kelapa.
“Apabila kami jual kepada pelanggan pula, mereka juga memberi maklum balas yang baik dan kini, air sarbat yang ditambah dengan perisa laici atau lemon menjadi antara menu baharu di gerai kami,” katanya.
Tambah Mohd. Almi, harga jualan air sarbat itu juga bermula pada harga RM3.50 hingga RM4.50 secawan dan ia turut dijual dalam botol bagi memudahkan pelanggan membawa pulang air tersebut.
“Pada masa ini gerai kami mempunyai empat orang pekerja dan kami akan cuba memastikan masa menunggu disingkatkan terutama pada musim panas ini,” katanya yang memberitahu, pelbagai minuman lain juga boleh didapati di situ termasuk cendol.-UTUSAN










