Gentari Hydrogen, SEDC bina Pusat Hidrogen Sarawak H2

Gentari Hydrogen, SEDC bina Pusat Hidrogen Sarawak H2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gentari Hydrogen Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian induk (HOA) dengan SEDC Energy Sdn. Bhd. (SEDCE) untuk pembangunan bersama pusat pengeluaran hidrogen dikenali sebagai Sarawak H2 Hub dan berpangkalan di Bintulu, Sarawak.

Ketua Pegawai Hidrogen, Gentari, Michèle Azalbert berkata, pusat pengeluaran hidrogen skala global yang dirancang itu bertujuan sebagai pembekal tunggal hidrogen hijau untuk kemudahan hulu di kawasan bahagian Bintulu.

“Pusat itu akan diuruskan oleh syarikat usahasama yang akan dibentuk oleh Gentari dan SEDCE, sekaligus bertanggungjawab mengoptimumkan semua projek pengeluaran hidrogen di dalam rantau tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menjadi pusat hidrogen bersih di ASEAN yang dipimpin oleh negeri seperti Sarawak dengan sumber yang mencukupi dan mampan.

Jelas Michèle, Gentari telah memberi tumpuan menjalinkan kerjasama dengan rakan seperti SEDC Energy untuk membangunkan ekonomi hidrogen tempatan yang akan mencipta nilai ekonomi bagi negeri sambil menjadikan negara sebagai pusat eksportasi hidrogen.

“Kami percaya bahawa hidrogen adalah jalan ke hadapan dan berkomited untuk menyumbang kepada Peta Jalan Ekonomi Hidrogen Sarawak, selain daripada visi dan objektif kerajaan Malaysia dalam Peta Jalan Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR).

Tambah beliau, peranan hidrogen dalam sektor-sektor penyahkarbonan seperti tenaga, pengangkutan, dan petrokimia secara global tidak boleh dianggap remeh dan permintaan untuk derivatif hidrogen karbon rendah adalah bukti kepentingannya yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif SEDCE, Robert Hardin pula berkata, kerjasama itu menjadi usaha signifikan kerana akan merangsang lebih banyak pembangunan dan menarik pelaburan baru terutamanya di sektor tenaga baharu.

Jelas beliau, hidrogen akan memainkan peranan dalam peralihan tenaga dan peranan Sarawak dalam memajukan pembangunan ini patut diperhatikan seperti ditekankan dalam Peta Jalan Peralihan Tenaga Kebangsaan.

Gentari dan SEDC Energy sebelum ini telah memasuki Perjanjian Kerjasama Strategik untuk meneroka kerjasama berpotensi dalam pembangunan dan penyediaan penyelesaian tenaga bersih yang bersepadu serta menyumbang kepada pembangunan dasar dan peraturan di negeri itu.

Sarawak sedang menempatkan dirinya untuk menjadi pengeluar hidrogen komersial pada tahun 2027 dengan visi untuk mengubah negeri ini menjadi ekonomi hidrogen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×