PORT DICKSON: Pusat Ikan Hiasan Port Dickson (PIHPD) yang merupakan satu-satunya galeri ikan hiasan marin di negara ini yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, menyasarkan kehadiran sehingga 280,000 pengunjung pada tahun ini.
Ketua Pusat PIHPD, Doreen Wee Siew Leen berkata, sejak ia dibuka kepada umum pada tahun 2016, ia memang menjadi tumpuan apatah lagi tiada bayaran yang dikenakan kepada pengunjung.
Membolehkan orang ramai untuk melihat kepelbagaian spesies hidupan marin yang dipamerkan, PIHPD kendalian Jabatan Perikanan Malaysia sentiasa memberikan keseronokan terutama kepada kanak-kanak khususnya pada musim cuti persekolahan.
“Pada tahun lepas kami mencapai kehadiran pengunjung sehingga 263,467 orang manakala pada tahun sebelumnya bilangan yang hadir adalah seramai 265,565 pengunjung.
“Berdasarkan promosi berterusan termasuk menerusi media sosial, kami jangka kehadiran pengunjung boleh mencecah sehingga 280,000 orang pada tahun ini.
“Ditambah dengan tiadanya bayaran masuk dikenakan, memang PIHPD sentiasa menjadi tumpuan pengunjung serta merupakan antara produk pelancongan utama di Port Dickson,” katanya ketika ditemui pada Program Hari Terbuka Pusat Ikan Hiasan Port Dickson di Telok Kemang di sini.
Doreen Wee dalam pada itu berkata, program hari terbuka tersebut merupakan kali pertama dianjurkan sejak PIHPD dibuka kepada umum.
Menurut beliau, pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung antaranya memberi makan kepada ikan, pembiakan karang serta memotong telur ikan yu bodoh.
“Kami di sini ada empat ekor induk yu bodoh yang aktif menghasilkan telur, jadi kami mengambil kesempatan memberikan pendedahan kepada pengunjung mengenai spesies ikan ini yang sememangnya banyak terdapat di perairan negara kita.
“PIHPD selepas ini akan menganjurkan dua lagi hari terbuka dan diharapkan menerusinya akan dapat memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk bersama menjaga dan menghargai kelangsungan ekosistem hidupan marin dan alam sekitar,” katanya lagi.-UTUSAN.










