PETALING JAYA: Seramai 100 sukarelawan di bawah Program Khidmat Bakti Siswa di bawah Program Community Heroes Yayasan Bank Rakyat (YBR) membersihkan Zoo Melaka dengan Pertubuhan kerjasama Peduli Waghih Negeri Sembilan.
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, program tersebut turut melibatkan pembersihan dan menceriakan kawasan zoo untuk keselesaan kepada pengunjung.
“Inisiatif yang dijalankan memberi peluang kepada golongan belia untuk membina ilmu baru, membangunkan jati diri serta membantu kepada pembangunan dan kebajikan masyarakat.
“Program ini bukan sahaja dapat melahirkan generasi belia prihatin dan penyayang, tetapi juga berupaya bertindak sebagai penebat atau pendinding kepada golongan remaja daripada terjebak dalam gejala negatif yang mampu menjejaskan keharmonian negara,” katanya di dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, Zoo Melaka menjadi tempat menempatkan lebih 214 spesies haiwan unggas, mamalia, reptilia dan amfibia sekaligus menawarkan pengalaman menakjubkan kepada pengunjung.
Aktiviti yang dilakukan turut melibatkan pembersihan kandang dan pemberian makan kepada haiwan, membaik pulih taman permainan serta memberi pendedahan kepada sukarelawan tentang tatacara pemeliharaan dan pengetahuan berkenaan pemuliharaan haiwan serta alam sekitar. – UTUSAN









