SEREMBAN: Pasukan hoki wanita Negeri Sembilan membelasah Kedah dengan keputusan jaringan 10-0, dalam saingan Liga Hoki Malaysia TNB 2024 di Stadium Hoki Seremban 2 di sini petang tadi.
Ketika harapan untuk mempertahankan kejuaraan liga tampak kabur, Negeri Sembilan kekal dengan semangat juang tinggi dengan memperoleh gol pertama pada minit ke-3 permainan melalui Zaty Alyani Muhamad Zubir.
Pemain kebangsaan itu sekali lagi menghukum kelalaian pertahanan Kedah dengan gol kedua pada minit ke-9.
Pasukan pelawat di bawah bimbingan, Mohd. Nasir Mohd. Noh itu cuba bangkit mengekang kemaraan pemain Negeri Sembilan namun berdepan asakan bertali arus pasukan tuan rumah.
Negeri Sembilan terus membolosi gawang Kedah yang dikawal oleh Shahidatul Adawiyah Shahri Azhar dengan gol pada minit ke-24, 28 dan 31, masing-masing melalui Xing Zhen Zhen, Le Meiling dan Ellya Syahirah Nadhirah Rosli.
Zaty Alyani terus mempamerkan prestasi sebagai pemain kebangsaan apabila menyumbat gol pada minit ke-34 dan 50 permainan.
Skuad tuan rumah yang mendapat sentuhan jurulatih, K. Rajan menjadikan laman sendiri sebagai gelanggang pesta gol ke atas Kedah yang menduduki tangga terbawah kumpulan.
Nur Zariefah Diana Mazlan menjaringkan gol pada minit k-40 sebelum rakannya, Nurfatin Dizana Mohd. Zaidi menjadikan kedudukan permainan kepada 8-0 pada minit ke-48.
Bekas pemain kebangsaan, Surizan Awang Noh menutup carta jaringan gol dalam permainan hari ini dengan gol ke-10 pada minit ke-54.-UTUSAN.










