KUALA LUMPUR: Wartawan Utusan Malaysia, Ku Syafiq Ku Rozi tidak menyangka bukunya, Gonzo Tanpa Fiasco: Muzik Tidak Harus Tewas mencuri tumpuan bukan sahaja pembaca tempatan, malah antarabangsa.
Ku Syafiq, 31, yang juga aktivis muzik indie memaklumkan benar-benar terkejut apabila buku berkenaan menarik minat pembaca luar negara yang tidak bertutur atau faham bahasa Melayu.
“Saya ketika menjual buku ini sewaktu penganjuran sebuah gig Jumaat lepas didatangi seorang warga Itali yang mencari bahan bacaan untuk mendalami budaya muzik tempatan.
“Individu tersebut berminat membeli buku ini selepas saya menerangkan tentang kandungannya.
“Saya tidak menyangka buku ini menarik minatnya meskipun dia tidak bertutur atau faham bahasa Melayu,” katanya,” katanya ketika pelancaran buku berkenaan yang diadakan sempena penganjuran Alternative Book Festival di Pasar Seni semalam.
Festival tiga hari itu dimeriahkan dengan pelbagai program lain seperti pelancaran buku, temu bual penulis, forum serta segmen diskusi penulisan.
Ku Syafiq berkata, Gonzo Tanpa Fiasco: Muzik Tidak Harus Tewas merupakan rangkuman kupasan dan perbincangan tentang arena muzik tanah air yang dibukukan untuk rujukan masyarakat.
“Saya terpanggil membukukan beberapa artikel yang saya tulis menerusi ruangan Rondivu dalam akhbar Mingguan Malaysia kerana pada saya artikel-artikel berkenaan wajar dibaca lebih ramai orang dan hayatnya akan berpanjangan jika dibukukan.
“Sebanyak 67 artikel terbaik saya kumpulkan termasuk dua yang saya tulis khas untuk buku ini. Ia dipecahkan kepada dua bahagian, wawancara dan ulasan yang membincangkan tentang dunia muzik tempatan,” ujarnya.
Buku terbitan Rabak Lit dengan kerjasama Media Mulia Sdn. Bhd. Itu dijual di platform Rabaklit.com pada harga RM41.90.- UTUSAN










