KANGAR: Seorang lelaki yang aktif melakukan kegiatan pecah premis kedai sekitar kawasan utara semenanjung membabitkan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang berjaya ditahan polis 15 Februari lalu.
Lelaki berusia 43 tahun itu juga mempunyai 27 kes lain membabitkan jenayah di daerah Kangar, Arau, Kubang Pasu, Kota Setar, Padang Serai, Kulim, Tasik Gelugor, Pulau Pinang dan Kuala Muda.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pada 22 September tahun lalu, pihaknya telah menerima laporan orang awam berkaitan kejadian pecah premis dan curi motosikal di sebuah kedai sekitar Pengkalan Asam yang melibatkan kerugian kira-kira RM4,500.
Susulan itu, bertindak atas maklumat, beliau berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kangar bersama anggota task force IPD Kangar telah membuat tangkapan ke atas suspek terlibat pada 15 Februari lalu sekitar pukul 3.10 petang.
“Suspek berkenaan bekerja sebagai pembantu kedai barangan lusuh di hadapan sebuah bank sekitar Padang Serai, Kulim.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 43 rekod lampau termasuk 10 rekod dikehendaki melibatkan kes pecah kedai, curi kenderaan dan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kangar, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Yusharifuddin berkata, menerusi soal siasat dijalankan, suspek berkenaan mengaku terlibat dalam kes yang dilaporkan pengadu dan 27 kes lain membabitkan jenayah di daerah Kangar, Perlis (lima kes), Arau, Perlis (satu kes), Kubang Pasu, Kedah (tiga kes), Kota Setar (tiga kes), Padang Serai, Kulim (lapan kes), Tasik Gelugor, Pulau Pinang (dua kes), dan Kuala Muda, Kedah (lima kes).
Katanya, dengan dipandu arah oleh suspek, polis juga berjaya merampas lebih 50 barangan kes terdiri daripada barangan kemas, komputer riba, telefon bimbit dan motosikal yang dianggarkan bernilai kira-kira lebih RM15,000.
“Ujian air kencing juga mendapati suspek berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah premis kedai antara pukul 1 pagi hingga 5 pagi.
“Suspek telah direman sehingga semalam bagaimanapun polis telah memohon lanjutan tempoh reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan.
“Masyarakat dinasihatkan agar dapat mengambil langkah berjaga-jaga antaranya dengan mewujudkan pengcahayaan baik, memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan mengunci premis yang ditinggalkan bagi menggelakkan kejadian pecah premis berlaku,” katanya.-UTUSAN










