Kementerian Pertanian ketuai, selaras sesi libat urus berkait isu padi dan beras

Kementerian Pertanian ketuai, selaras sesi libat urus isu padi, beras

HARGA jualan beras putih Malaysia Madani dan import bagi berat 10kg dicadang diselaraskan kepada RM30 atau RM35 sekali gus memberi situasi menang-menang kepada petani yang terus terkesan dengan kos operasi penanaman padi yang meningkat. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengetuai dan menyelaras sesi libat urus dengan lebih terperinci berhubung situasi padi dan beras negara secepat mungkin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi libat urus itu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan dan kesan kepada pengguna.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan supaya hasil libat urus dibentang dan dimuktamad dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 20 Mac ini sebelum dibawa ke pertimbangan Kabinet.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) turut bersetuju mempertimbang semula penawaran harga Beras Putih Import (BPI) dalam pasaran domestik supaya boleh dijual pada harga lebih rendah.

“Perkara ini diputuskan selepas mesyuarat mendengar penjelasan terperinci terkait cadangan pelaksanaan Beras Putih Malaysia Madani.

“Pada masa sama, beberapa wakil industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili pesawah dan pengilang menyuarakan beberapa cadangan dan pandangan berhubung situasi padi dan beras, bagi memastikan ketersediaan beras pada harga munasabah kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas NACCOL yang dihadiri menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri, ketua-ketua setiausaha kementerian, wakil pengguna, NGO dan ahli akademik.

Pada 12 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, NACCOL bercadang menyelaras harga beras tempatan dan import bagi mengelakkan manipulasi dan penipuan dalam industri beras.

Cadangan itu bakal menyaksikan harga beras tempatan yang kini dijual di pasaran RM26 bagi setiap 10 kilogram akan meningkat kepada sekitar RM30 hingga RM33.

Bagaimanapun, pada 17 Februari lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, belum ada ketetapan dibuat ke atas cadangan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

Keadaan itu mencetus kekeliruan orang ramai susulan kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) merangkap Ahli Parlimen pembangkang yang menyokong kerajaan, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, 14 Februari lalu.

ANWAR IBRAHIM

Dalam pada itu, Anwar berkata, dalam tempoh sesi libat urus tersebut, beliau mengarahkan supaya program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani diperbanyak.

Jelasnya, ini bagi memastikan rakyat dapat memberi barangan keperluan harian termasuk beras pada harga lebih rendah berbanding pasaran, manakala jadual pelaksanaan jualan-jualan akan dihebah secara kerap.

Selain itu, beliau turut membangkitkan akan kepentingan mempertingkat penguatkuasaan bagi memastikan keberadaan beras di pasaran dan tiada pemborong atau pengilang mengaut keuntungan berlebihan atau mencampur kandungan Beras Putih Tempatan dan BPI dijual pada harga tinggi.

“Walaupun bekalan dan harga BPT dalam pasaran domestik terkawal, saya masih menerima aduan berhubung isu bekalan BPT yang terhad. Rakyat juga terkesan dengan kenaikan harga BPI di pasaran global berikutan larangan eksport yang dikenakan negara pengeluar beras.

“Oleh itu, saya tegaskan betapa campur tangan kerajaan amat kritikal dan perlu diputuskan segera bagi memastikan isu bekalan dan harga makanan ruji utama rakyat terus kekal stabil di pasaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini