DUBAI: Iran didakwa menghantar sejumlah besar peluru berpandu permukaan kuat kepada Russia dan memperkukuh kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara yang disekat Amerika Syarikat (AS) itu.
Menurut tiga sumber negara itu, Iran membekalkan kira-kira 400 peluru berpandu termasuk banyak model senjata balistik jarak dekat Fateh-110 dan Zolfaghar.
Pakar berkata, peluru berpandu mudah alih jalan raya tersebut dilaporkan mampu menyerang sasaran pada jarak antara 300 dan 700 kilometer.
Kementerian pertahanan Iran, pasukan elit Pengawal Revolusi yang menyelia program peluru berpandu balistik dan Kementerian pertahanan Russia bagaimanapun enggan mengulas mengenai dakwaan tersebut.
Jelas satu sumber, penghantaran bermula pada awal Januari selepas perjanjian dimuktamadkan dalam mesyuarat akhir tahun lalu antara pegawai tentera serta keselamatan Iran dan Russia yang berlaku di Tehran dan Moscow.
Seorang pegawai tentera Iran berkata, terdapat sekurang-kurangnya empat penghantaran peluru berpandu dan bakal ada lagi tambahan bekalan dalam beberapa minggu akan datang.
Seorang lagi pegawai kanan Iran berkata, beberapa peluru berpandu dihantar ke Russia dengan kapal melalui Laut Caspian, manakala yang lain diangkut dengan kapal terbang.
“Akan ada lebih banyak penghantaran. Tiada sebab untuk menyembunyikannya. Kami dibenarkan untuk mengeksport senjata ke mana-mana negara yang kami mahu,” kata pegawai itu.
Sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) terhadap eksport beberapa peluru berpandu, dron dan teknologi lain Iran tamat pada bulan Oktober ini.
Namun AS dan Kesatuan Eropah (EU) mengekalkan sekatan ke atas program peluru berpandu balistik Iran di tengah-tengah kebimbangan terhadap eksport senjata kepada proksinya di Asia Barat dan Russia.
Jurucakap Keselamatan Negara White House, John Kirby pada awal Januari meluahkan kebimbangan jika Russia memperoleh senjata balistik jarak dekat dari Iran, selain peluru berpandu yang sudah diperoleh dari Korea Utara.
Jumaat lalu, pendakwa raya tertinggi Ukraine berkata, peluru berpandu balistik yang dibekalkan oleh Korea Utara ke Russia terbukti tidak boleh dipercayai di medan perang, dengan hanya dua daripada 24 mengenai sasaran.
Pakar Institut Pengajian Antarabangsa Middlebury Monterey, Jeffrey Lewis berkata, model peluru berpandu Fateh-110 serta Zolfaghar daripada Iran jelas senjata yang lebih jitu dan boleh mendatangkan kemudaratan besar jika digunakan di Ukraine.-REUTERS











