GAZA: Menteri Penempatan dan Misi Nasional Israel, Orit Strook dengan angkuh menafikan kewujudan rakyat Palestin dalam ucapannya di Parlimen kelmarin.
“Tidak ada yang namanya rakyat Palestin. Tidak akan pernah ada negara Palestin di tanah Israel.
“Setiap orang yang berbudaya di dunia tahu bahawa tanah ini adalah milik kita, untuk orang Israel dan hanya untuk kita,” kata Strook dalam video rakaman ucapannya semasa sesi Knesset yang di dimuat naik di laman X.
Lapor Agensi Anadolu, menteri rejim Zionis yang tinggal di penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki itu mendakwa, kewujudan negara Palestin akan menjadi ancaman kepada Israel serta keamanan dan ketenteraman seluruh dunia.
“Majoriti besar rakyat Israel menentang penubuhan negara Palestin,” katanya.
Rabu lalu, Knesset sebulat suara mengundi menyokong keputusan kerajaan untuk menolak pengiktirafan unilateral negara Palestin.
Laporan media Israel, Channel 12 turut mendakwa rejim Zionis sedang bersedia untuk melancarkan ‘pelan perintis’ di mana orang awam Palestin akan mengambil alih pentadbiran kawasan kejiranan yang berbeza di Semenanjung Gaza bagi menggantikan Hamas.
Laporan itu turut menyebut, pelan perintis itu akan dilaksanakan ke atas penduduk yang tinggal di utara Semenanjung Gaza.
“Sebagai sebahagian daripada rancangan perintis, Israel menekankan keperluan untuk perubahan lengkap dalam kandungan buku teks yang diajar di sekolah-sekolah di Semenanjung Gaza yang menimbulkan kebencian terhadap Israel dan Yahudi.
“Beberapa hari lalu, tentera Israel melancarkan tindakan ketenteraan berskala besar di kawasan kejiranan Zaytoun sebagai sebahagian daripada penyediaan pelan perintis ini,” jelas laporan itu.
Israel menduduki Baitulmuqaddis Timur semasa Perang Arab-Israel 1967.
Rejim Zionis kemudian menggabungkan seluruh bandar itu pada tahun 1980, mendakwa seluruh Baitulmuqaddis sebagai ibu kotanya yang kekal dan tidak berbelah bahagi dalam satu langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Rakyat Palestin sejak bertahun-tahun berharap untuk menubuhkan sebuah negara merdeka sendiri di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya.
Namun peperangan Israel ke atas Gaza menyebabkan 85 peratus penduduk wilayah itu terpaksa berpindah dan berdepan kekurangan makanan, air bersih serta ubat-ubatan yang teruk.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 60 peratus infrastruktur wilayah itu rosak atau musnah akibat serangan yang disifatkan antara terburuk dalam sejarah dunia.
Buat pertama kali sejak penubuhannya pada 1948, Israel diheret ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), badan kehakiman tertinggi PBB berhubung tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Keputusan sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan dapat diberikan kepada orang awam di Gaza.










