Himpunan Motosikal RXZ Member diteruskan di Terengganu - Utusan Malaysia

Himpunan Motosikal RXZ Member diteruskan di Terengganu

SEBAHAGIAN daripada motosikal RXZ yang menyertai Himpunan Motosikal RXZ Member 5.0 di Kuala Nerus tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Program Himpunan Motosikal RXZ Member 6.0 akan diteruskan di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, dekat sini, pada 14 September depan.

Perkara itu diumumkan oleh Pengarah program, Mohamad Faizal Mat Ali melalui satu video di platform media sosial RXZ Members – Official malam tadi.

Melalui video berdurasi 2.01 minit itu, Mohamad Faizal turut mengumumkan hadiah utama cabutan bertuah untuk pengunjung iaitu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah Toyota Vellfire 2.5L.

“Pihak penganjur juga menyediakan cabutan bertuah dua buah motosikal Yamaha RXZ dan pelbagai lagi hadiah lumayan lain yang menanti peserta program tersebut,” katanya.

Kebanyakan peminat RXZ menyambut baik penganjuran di Terengganu dan berharap tiada lagi sebarang kontroversi ‘pukat’ seperti yang berlaku tahun lepas apabila banyak motosikal peserta ditahan pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan.

Mereka sangat kecewa dan serik untuk berkunjung lagi ke Terengganu akibat insiden tersebut dan berharap lokasi penganjuran program akan diubah ke negeri lain yang ‘lebih mesra’ dengan peserta program tersebut.

Difahamkan, sambutan Himpunan RXZ Member 5.0 pada 2023 disifatkan paling meriah berbanding RXZ Member 1.0 hingga 4.0, apabila lebih 60,000 peserta seluruh negara termasuk Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura menyertai program berkenaan.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin ketika itu dilaporkan berkata, tidak timbul isu ‘pukat-memukat’ untuk mencari kesalahan peserta RXZ Members 5.0.

Sebaliknya, beliau menegaskan semua motosikal yang disita adalah kerana tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan JPJ.

Antara kesalahan yang dikesan dalam operasi sepanjang tempoh tersebut ialah melakukan modifikasi menggunakan ekzos paip, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau tiada langsung nombor pendaftaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×