KUANTAN: Acara permotoran sensasi tanah air, RXZ Fighters 3.0 yang berlangsung di Dataran Serambi Teruntum di sini terus mencetuskan fenomena apabila lebih 50,000 pengunjung membanjiri lokasi sepanjang dua hari penganjuran bermula semalam.
Program edisi ketiga itu berjaya menghimpunkan peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara khususnya Semenanjung, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara permotoran terbesar bagi negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, meskipun jumlah kehadiran kali ini sedikit berkurangan berbanding kira-kira 70,000 pengunjung tahun lalu, sambutan yang diterima tetap memberangsangkan.
“Meskipun agak kurang berbanding tahun sebelum ini, kemungkinan disebabkan faktor ekonomi dan pertindihan beberapa acara lain, namun sambutan daripada peminat RXZ tetap menggalakkan.
“Pada peringkat awal dahulu, kita sendiri tidak pasti acara seperti ini mampu dianjurkan di bumi Pahang, namun syabas kepada semua pihak yang berjaya merealisasikan penganjuran ini dengan sokongan penuh kerajaan negeri,” katanya ketika merasmikan program RXZ Fighters 3.0 mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini hari ini.
Fadzli berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyokong pembangunan pelbagai segmen anak muda termasuk mereka yang meminati sukan permotoran.
“Program ini jelas membuktikan minat anak muda terhadap dunia permotoran semakin berkembang dan perlu disokong melalui pendekatan yang lebih tersusun serta kemudahan yang bersesuaian,” katanya.
Katanya lagi, dalam usaha merancakkan lagi pembangunan sukan permotoran di negeri ini, kerajaan negeri sudah memperoleh peruntukan kira-kira RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi menaik taraf litar lumba di Pekan.
“Ini langkah awal untuk menyediakan kemudahan lebih baik kepada peminat dan pelumba tempatan sebelum kita merancang pembangunan lebih besar pada masa hadapan.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan program ini di lokasi lain seperti Pekan sekiranya kemudahan litar siap sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN










