PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu diberi kuasa lebih besar supaya dapat memantau semua laman web dan media sosial seterusnya memadam kandungan berbahaya kepada kanak-kanak.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Dr. Farah Nini Dusuki berkata, langkah itu boleh diambil dengan membuat pindaan terhadap akta yang berkaitan.
Menurut beliau, ketiadaan mekanisme dan undang-undang kawal selia yang tegas mengakibatkan generasi muda khususnya di bawah umur 13 tahun sangat terdedah kepada gejala negatif daripada internet.
“Suhakam juga menyeru pihak berkuasa untuk bekerjasama dengan pakar dan organisasi bagi menangani isu-isu sebegini dan mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil bagi menanganinya dengan lebih efektif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak sepatutnya mempunyai akaun media sosial.
Menurutnya, pendedahan tersebut lebih mendatangkan keburukan kepada tumbesaran golongan itu selain tiada manfaat besar untuk memiliki media sosial kerana kewujudannya dilihat hanyalah untuk kepentingan sendiri.
PLATFORM
Dalam pada itu, Farah Nini tidak menafikan media sosial merupakan platform bagi golongan muda menjana pendapatan termasuk kanak-kanak yang masih bersekolah.
Bagaimanapun, menurut beliau, trend tersebut dibimbangi melahirkan generasi yang tidak mengutamakan pendidikan kerana lebih cenderung menjadi pempengaruh kerana hasil lumayan.
“Bagaimanapun, Suhakam berpendirian pendidikan adalah asas kepada pembangunan diri seseorang dan perlu dititikberatkan dalam kehidupan kanak-kanak,” katanya.
Sementara itu, Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal juga berpendapat, negara memerlukan undang-undang kawal selia penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak.
Katanya, hanya undang-undang dan dasar yang tetap dapat membantu membendung permasalahan itu dengan berkesan.
“Kanak-kanak perlu diberi ingatan yang mudah dan jelas mengenai penggunaan sosial media. Jika ada peraturan dan undang-undang, maka pengawalan dapat dibuat.
“Undang-undang perlu untuk kawal, pantau, selaras dan bendung. Cegah sebelum parah,” katanya.
Mengulas lanjut tentang penggunaan media sosial golongan tersebut, Noor Aziah berkata, penglibatan mereka perlu dihindarkan kerana kanak-kanak pada peringkat umur itu mudah terpengaruh dengan perkara negatif dalam platform tersebut.
“Bagi saya kanak-kanak bawah 13 tahun langsung tidak boleh dibiarkan aktif dalam sosial media kerana mereka terlalu muda,” katanya.- UTUSAN










