Terengganu semakin 'mengecil'

Terengganu semakin ‘mengecil’

KEADAAN rumah penduduk kampung yang terjejas teruk akibat hakisan pantai dan ombak besar di sekitar Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu sejak 10 tahun lalu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebahagian garis pantai di Terengganu dikesan mengalami perubahan ketara akibat kejadian hakisan yang semakin kritikal pada musim tengkujuh sejak beberapa tahun lalu.

Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, hasil kajian sebelum ini, sejauh 48.7 kilometer (km) daripada keseluruhan 244 km kawasan pesisir negeri ini berisiko tenggelam berikutan hakisan pantai yang serius.

Katanya, keadaan tersebut menyebabkan pemetaan baharu garis pantai di Terengganu diramal menyaksikan perubahan berbanding garisan tersebut sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perubahan garis pantai itu dipercayai berlaku apabila kebanyakan kawasan pantai di Terengganu mengalami hakisan antara satu hingga dua meter pada setiap tahun.

“Malah di beberapa lokasi dikesan mengalami hakisan serius kira-kira tiga hingga lima meter dalam tempoh tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Effi Helmy berkata, antara kawasan pantai yang mengalami hakisan teruk ialah Pantai Geliga dan Pantai Kemasik di Kemaman, Pantai Paka dan Pantai Teluk Lipat (Dungun), Pantai Kampung Aur (Kuala Terengganu), Mengabang Telipot (Kuala Nerus) dan Pantai Kampung Teluk Budu (Besut).

“Antara kawasan terjejas teruk di Kuala Nerus bermula dari kawasan Mengabang Telipot sehingga ke Batu Rakit dan kawasan paling teruk terjejas ketika ini ialah di kawasan perniagaan makanan laut, Warung Pok Nong.

“Ia bukan hanya melibatkan masalah hakisan memandangkan kawasan itu sangat dinamik, sebaliknya menyebabkan mendapan dan berlaku hakisan di bawah batu sehingga ke Pengkalan Maras,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Pusat telah melakukan pelbagai usaha untuk membaik pulih kawasan yang terjejas hakisan, namun belum mencapai tahap maksimun dan masih berisiko tinggi terdepan ancaman bencana alam luar jangka.

“Struktur yang dibina seperti benteng hakisan pantai sebelum ini sesuai dengan keadaan cuaca atau musim ribut biasa, namun apabila berlaku ‘extreme event’ atau ombak luar jangkaan, berlaku kerosakan teruk,” katanya.

Beliau berkata, situasi tersebut dapat dilihat berdasarkan kesan ribut yang melanda beberapa tahun kebelakangan ini antaranya ribut tropika Jelawat yang berlaku pada 24 Disember tahun lalu, ribut tropika Pabuk (2020) dan taufan Rai (2021).

Katanya, kejadian tiga ribut ini memberi kesan kepada pantai-pantai Terengganu kerana kedudukannya berdepan dengan Laut China Selatan.

“Terbaharu, ribut tropika Jelawat yang melanda pada Disember lalu memberi kesan lebih besar kepada kawasan-kawasan yang terjejas hakisan di Terengganu.” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, terdapat kawasan pantai di negeri ini yang mengalami hakisan sebelum ini telah kembali pulih berikutan proses semula jadi alam.

“Terdapat beberapa kawasan pantai terlibat dalam kejadian hakisan kembali kepada asal selepas musim tengkujuh susulan proses baik pulih sedimen dari laut ke atas pantai oleh pergerakan angin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini