MPN baharu mahu kukuhkan keyakinan terhadap PKR di Pulau Pinang

MPN baharu mahu kukuhkan keyakinan terhadap PKR di Pulau Pinang

KENYATAAN bersama oleh Nurul Izzah Anwar dan Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN :  Berikrar untuk bekerja keras bagi mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap PKR khususnya di Pulau Pinang.

Itu antara fokus utama yang digariskan oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang baharu yang diterajui Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar selaku Pengerusi.

Nurul Izzah kini dibantu oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid sebagai Timbalan Pengerusi menggantikan Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Menurut Nurul Izzah, beliau dan Mohamad menerima tugasan menerajui PKR Pulau Pinang ini dengan penuh rasa rendah diri dan kebertanggunjawaban.

“Prof. Dato Mohamad (Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid) dan saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas komitmen serta khidmat bakti yang diberikan oleh Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik, mantan Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang yang terus memikul persada tanggungjawab di peringkat persekutuan. 

“Secara bersama, kami merancang langkah-langkah selanjutnya bagi memperkukuh PKR berbekal semangat yang diperbaharui untuk memaknai reformasi dalam usaha mengangkat taraf sosio ekonomi kehidupan rakyat di kedua-dua kawasan di Seberang Perai dan di Pulau,” katanya dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai ikrar untuk mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap parti itu, Nurul Izzah berkata, ini termasuk usaha mempertingkatkan ekosistem ekonomi serta kewangan sosial dan mengintegrasikan aktiviti pendidikan dan ekonomi dengan landskap pendidikan digital dan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk mencapai Wawasan Pulau Pinang 2030 atau Penang 2030.

Selain itu katanya, mereka juga berhasrat menerapkan agenda reformasi institusi yang menggalakkan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran serta memfokuskan kepada usaha mempromosikan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dengan bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Usaha berterusan dalam membina ekosistem yang lebih erat, utuh dan bersatu-padu merentas keseluruhan komuniti rakyat Pulau Pinang – daripada leluhur dan latar belakang yang berbeza. 

“Untuk tujuan ini, kami akan melakukan yang terbaik untuk mencegah penyelewengan maklumat dan melawan ekstremisme dengan mendekati masyarakat melalui infrastruktur tempatan (JPKK), rangkaian masjid dan surau, serta saluran maklumat dalaman parti (PKR dan Pakatan Harapan),” jelas beliau.

Sehubungan itu, Nurul Izzah berkata, beliau dan Mohamad menjemput rakyat Pulau Pinang untuk menyertai mereka dalam melaksanakan misi kolektif ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×