Peletakan jawatan Nurul Izzah bukan masalah besar - Kamil Munim

Peletakan jawatan Nurul Izzah bukan masalah besar – Kamil Munim

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim (berdiri kiri) bercakap di hadapan belia yang hadir ke program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi peringkat negeri Perak Tahun 2026 di Kuala Kangsar, Perak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Hasrat ‘Puteri Reformasi’, Nurul Izzah Anwar untuk meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR bukan masalah politik besar.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti semalam sudah memadai sebagai penjelasan isu tersebut.

“Saya tidak fikir itu adalah satu bebanan isu ataupun masalah politik besar yang terpaksa dihadapi hari ini.

“Organisasi (PKR) berjalan dengan baik seperti biasa,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi peringkat negeri Perak Tahun 2026 di sini hari ini.

Pentas politik negara semalam dikejutkan dengan hasrat peletakan jawatan Nurul Izzah walaupun baru setahun menyandang jawatan orang nombor dua tertinggi PKR selepas bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Majlis Pimpinan Pusat PKR bagaimanapun memutuskan untuk memberikan cuti sementara kepada beliau.

Mengulas lanjut berkaitan hal itu juga, Muhammad Kamil berkata tumpuan seharusnya terarah kepada masalah rakyat seperti kos sara hidup serta kemajuan infrastruktur.

“Ini yang sepatutnya wajar menjadi perhatian rakyat dalam membuat penilaian pemimpin mana yang kita hendak angkat dan pemimpin mana yang mampu untuk menyelesaikan permasalahan yang kita hadapi dalam kehidupan seharian kita.

“Tetapi malangnya apa yang berlaku ialah politik ketakutan, menakut-nakutkan orang Melayu, menakut-nakutkan orang Islam. Bukan untuk selamatkan negara ini tetapi untuk meraih sedikit keuntungan kemenangan politik,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×