Sukar dapat beras tempatan - Utusan Malaysia

Sukar dapat beras tempatan

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rakyat tiada pilihan apabila terpaksa membeli beras putih import (SSI) dengan harga lebih mahal berikutan sukar menemui beras putih tempatan (SST) dijual di pasaran di Lembah Klang.

Tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai-kedai runcit di beberapa daerah di Selangor dan ibu negara, hanya beras import dijual dengan harga paling murah untuk kampit 5 kilogram (kg) RM20 manakala RM45 untuk kampit 10kg.

Antara jenama beras putih super import yang banyak ditemui seperti Thai King Siam, Era Nagasari, Sakura, Jasmine Super 5, Jati, Merbok, Bird of Paradise dan Cap Rambutan. Sedangkan bagi beras tempatan kerajaan menetap hanya RM26 bagi kampit 10kg.

Memuatkan artikel berkaitan…

Disebabkan kesukaran menemui beras tempatan, pelanggan pertengahan dan ke bawah akan mencari dan membeli beras import yang dijual dengan harga paling murah.

Seorang pelanggan di sebuah pasar raya di Sungai Besi, ibu negara, Ashikin Mohd Nor berkata, dia sentiasa pergi awal ke pasar raya untuk mencari beras putih tempatan kerana jika ada beras tempatan ditawarkan ia cepat terjual.

Namun, sejak beberapa bulan ini, kata Ashikin, dia tidak bernasib baik kerana hanya melihat hanya beras import yang ditawarkan.

BERAS PUTIH

“Saya rasa sudah tiga bulan tidak nampak beras putih tempatan di pasar raya. Saya pun pelik kenapa jadi begini. Harga beras import mahal, anak pula ramai. Tahan berapa lama sangat kalau beli beras import.

“Saya yang berkeluarga besar ini sudah tentu mahu membeli beras tempatan sebagai pi­lihan sebab murah. Tetapi tidak ada, apa saya boleh buat?” soal suri rumah itu.

Seorang lagi, Mat Ghani Ali berkata, beliau mendapati ha­nya beberapa kampit beras tempatan diletakkan, namun tidak sampai 10 minit, beras tersebut habis, sekali gus pelanggan lain terpaksa membeli beras import.

“Saya beli beras tempatan dua bulan lalu dan sekarang tidak jumpa lagi. Saya cari merata di kawasan kediaman saya, memang beras tempatan tidak dijual. Paling mahal saya pernah tengok dijual hampir RM70 untuk 10 kilogram, memang saya tidak akan belilah dengan harga semahal itu,” katanya.

Seorang pelanggan di Semenyih, Selangor yang enggan dikenali berkata, sudah beberapa bulan dia tidak menemui beras tempatan sama ada di pasar raya mahupun kedai-kedai runcit.

Kata wanita itu, dia yang bekerja sebagai jurujual kosmetik akan membuat perbandi­ngan harga untuk membeli beras import yang paling murah.

“Setakat ini, paling murah beras import dibeli RM37.90 untuk kampit 10kg. Saya tidak berharap untuk membeli beras tempatan sebab tidak jumpa lagi dalam kedai-kedai di kawasan saya,” katanya.

NACCOL

Menyedari perkara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, kesukaran menemui beras tempatan berlaku angkara kartel.

Menurut beliau, ada pihak dalam industri beras atau kartel dipercayai cuba mengaut keuntungan daripada beras putih tempatan yang selama ini dijual pada harga RM26.

Bagaimanapun, kata Syed Abu Hussin, disebabkan mahu untung, banyak beras tempatan itu ditukar label menjadi beras import dan dijual sehingga RM40 ke RM45 bagi 10kg.

Disebabkan masalah itu, kata beliau, pihaknya mengambil langkah membuat penyela­rasan harga beras kepada satu gred sahaja, sekali gus menyifatkan sebagai tindakan wajar supaya kartel tidak lagi memanipulasi harga beras tempatan.

“Kita perkenalkan Beras Putih Malaysia Madani iaitu satu gred dan satu harga iaitu RM30 bagi 10kg.
“Langkah ini supaya tidak buka ruang kepada kartel untuk mengambil kesempatan, ini kerana bila mereka memanipulasi harga, kesannya adalah harga akan naik.

“Apa yang saya buat ini adalah selaras dengan apa yang dikehendaki Perdana Menteri untuk harmonikan kembali ekosistem industri padi dan beras sehingga tidak ada ruang bagi mana-mana pihak terutamanya mereka yang menguasai sebahagian besar pasaran,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

MELABELKAN

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, jika sebelum ini kartel boleh melabelkan semula beras tempatan namun selepas ini NACCOL akan berperanan menutup ruang tersebut menerusi mekanisme yang akan diperincikan.

“Lihat sahaja ketika ini bagaimana kartel sedang memanipulasi beras tempatan sehingga sukar dan tiada di pasaran. Masalah dan rungutan rakyat membimbangkan Perdana Menteri,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan cadangan mewujudkan Beras Putih Malaysia Madani untuk membantu negara memerangi tindak-tanduk kartel yang sebelum ini didakwa mensabotaj bekalan makanan ruji tersebut sehingga membebankan rakyat.

Anwar kemudian menyangkal dakwaan bahawa cadangan mewujudkan Beras Putih Malaysia Madani akan menyokong tindakan kartel mensabotaj bekalan beras negara.

Terdahulu, media melaporkan, Syed Abu Hussin Hafiz membuat pengumuman kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang bakal memasuki pasaran 1 Mac ini dan akan dijual dengan harga RM30 bagi kampit 10kg, RM15.50 bagi kampit 5kg dan RM3.50 bagi pek 1kg. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini